AL BAQARAH 2:255


(Al Baqarah 2:255)

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)

ADAB DAN DOA MINUM AIR ZAM ZAM


air-zamzam

Umat Islam percaya bahawa air zam-zam adalah kurniaan dan rahmat dari Allah سبحانه وتعالى. Air zam-zam mampu menghilangkan dahaga dan kelaparan. Itulah sebabnya jemaah umrah dan haji disunatkan meminum air zam-zam sepuas-puasnya terutama selepas melakukan ibadah tawaf.

Sesungguhnya Rasulullah ﷺ ada bersabda: “Perbezaan antara kita dan orang ramai (kaum munafik) adalah mereka itu tidak suka meneguk (minum) air zam-zam.” (Hadis riwayat Addara Qutni dan lbnu Majah).

  1. Adab Meminum Air Zam-Zam

Adab ketika minum air zam-zam  itu sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian Fuqaha adalah termasuk dalam hukum sunat, antaranya:

  1. Menghadap kiblat
  2. Membaca Bismillah sebelum minum.
  3. Minum air zam-zam dengan niat ikhlas.
  4.  Jangan minum dengan sekali teguk sehingga habis
  5. Minum sebanyak tiga kali dan diselangi bernafas di luar bekas minuman, kemudian baru teguk lagi.
  6. Setiap kali mengambil nafas ketika minum air zam-zam, melihat ke arah Kaabah/kiblat.
  7. Minumlah air zam-zam sehingga kenyang kerana orang munafiq tidak meminumnya sehingga kenyang.
  8. Sesudah minum, ucapkan pujian kepada Allah سبحانه وتعالى (baca Alhamdulillah).
  9. Memperbanyakkan doa ketika minum dan mengharapkan kebaikan di dunia dan akhirat.

 

 

Hadis Ibnu Majah

Adab minum air zam-zam ini juga sebagaimana disebutkan dalam hadis oleh Ibnu Majah:

Daripada Muhammad bin Abdurrahman bin Abu Bakr, katanya: “Ketika aku duduk di sisi Ibnu ‘Abbas datang seorang lelaki kepadanya, lalu berkata Ibnu ‘Abbas: “Dari mana engkau datang?”
Lelaki itu berkata: “Dari perigi zam-zam.”

Ibnu Abbas berkata: “Apakah engkau minum dari perigi itu sebagaimana yang sepatutnya.”

Lelaki itu berkata: “Bagaimana?”
Ibnu Abbas berkata: “Apabila engkau minum air zam-zam, maka menghadaplah ke kiblat, sebut nama Allah سبحانه وتعالى dan bernafaslah tiga kali (waktu minum). Minumlah air zam-zam sehingga kenyang dan jika sudah selesai maka pujilah Allah ‘azza wajalla. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya tanda yang membezakan antara kita dengan orang-orang munafiq, sesungguhnya mereka tidak minum air zam-zam itu sehingga kenyang.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Ibnu Abbas menjelaskan: “Apabila minum air zam-zam hendaklah menghadap kiblat, sebutkan nama Allah (baca Bismillah) dan bernafas di luar bekas minuman, kemudian baru teguk lagi dan (sesudah selesai minum) ucapkan pujian kepada Allah سبحانه وتعالى (baca Alhamdulillah).”

Adab Mengambil Air Zam-Zam

  1. Sunat melihat dan masuk ke tempat perigi zam-zam.
  2. Sunat menggunakan timba bagi mengambil air lalu meminumnya.
  3. Merenjiskan air zam-zam ke kepala, muka dan dada.

Kini setelah proses pemodenan dan didirikan kilang pembotolan, orang awam tidak lagi dibenarkan mengambil dan memasuki ke kawasan sebenar telaga zam-zam.

Doa Minum Air Zam-Zam

1.Doa Ketika Minum Air Zam-Zam

doa-minum-air-zamzam1

Daripada Ikramah meriwayatkan, bahawa Ibnu Abbas apabila minum air zam-zam berdoa:

اَللَّهُمَّ اِنِّى اَسْأَلُكَ عِاْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا وَاسِعًا وَشَفِيًا مِنْ كُلِّ دَاءٍ وَسَقِيْمًا.

“Ya Allah ya Tuhanku! Daku bermohon kepadaMu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit.”  (Hadis riwayat ad-Dara Qutni dan lbnu Majah).

Menurut riwayat, Ibnu Abbas ialah sahabat yang sangat tinggi pekertinya, mendalam ilmunya, luas rezekinya dan tidak pernah sakit kecuali penyakit tua.

2.  Doa Dan Niat Minum Air Zam-Zam

doa-dan-niat-minum-air-zam-zam

Berkata Imam At-Tirmizi

Imam At-Tirmizi, salah seorang dari enam tokoh hadis yang terulung di dunia berkata:

“Orang yang meminum air Zam-zam itu:

  • Jika dia minum untuk kenyang, maka Allah سبحانه وتعالى akan mengenyangkannya.
  • Jika dia minum untuk minuman, maka Allah سبحانه وتعالىmemberinya minuman.
  • Jika dia minum untuk sembuh dari penyakit, maka Allah سبحانه وتعالىakan menyembuhkannya dari penyakit.
  • Jika dia minum kerana akhlaknya yang buruk, maka Allah سبحانه وتعالىakan mengelokkan akhlaknya.
  • Jika dia minum untuk menghilangkan kegelapan hatinya, maka Allah سبحانه وتعالىakan menghilangkannya.
  • Jika dia minum untuk mengkayakan hatinya, maka Allah سبحانه وتعالىakan mengkayakannya.
  • Jika dia minum kerana sesuatu hajat, maka Allah سبحانه وتعالىakan memakbulkannya.
  • Jika dia minum kerana sesuatu musibah yang menimpa, maka Allah سبحانه وتعالىmelindunginya.
  • Jika dia minum kerana kesusahan yang menimpa, maka Allah سبحانه وتعالىakan menghilangkan kesusahannya.
  • Dan jika dia minum kerana memohon bantuan, maka Allah سبحانه وتعالىakan membantunya.”

Demikianlah kata Imam At-Tirmizi yang dipetik dari kitab ‘Mukjizat Perubatan Dengan Air Zam Zam’ karangan Sheikh Majdi Fathi Al-Sayyid Ibrahim.

Penutup

Berdasarkan hadis-hadis di atas, betapa pentingnya adab dan niat semasa meminum air zam-zam. Sebenarnya, apa jua niat, asalkan niat itu baik dan halal, Insya’Allah ianya akan dimakbulkan oleh Allah سبحانه وتعالى.

Allah سبحانه وتعالى berfirman :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ ﴿٦٠﴾

“Berdoalah kepadaKu, nescaya Daku perkenankan doa permohonanmu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.”

(Surah Al-Mukmin: Ayat 60)

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

SUMBER: shafiqolbu.wordpress.com

PENGERTIAN MURTAD


irfanirsyad2

Soalan:
Apakah maksud riddah atau murtad?

Jawapan
:
Dalam menjawab persoalan ini, kedua-dua perkataan ini daripada bahasa Arab. Di mana riddah lebih menunjukkan kepada masdar sedangkan murtad kepada isim fa’il. Secara terperinci saya nyatakan seperti berikut:

Dibahagikan definisi ini kepada dua bahagian iaitu dari segi bahasa dan istilah.

 Dari segi bahasa
Murtad atau riddah dalam bahasa Arab merupakan isim masdar daripada perkataan اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain.

Ibn Faris dalam kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah (2/386) berkata: “Asal perkataan ini ra dan dal iaitu memberi maksud kambali pada sesuatu dan dinamakan murtad kerana seseorang itu kembalikan jiwanya kepada kufur. Atas asas inilah murtad nama bagi yang kembali pada kufur.”

 Dari segi istilah
Menurut istilah undang-undang Islam pula, murtad ialah beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain. Perkataan murtad merupakan isim fa’il kepada pelaku murtad. Walaupun begitu, penulis tidaklah membezakan sangat antara pengertian murtad dan riddah.

Penulis mengemukakan pendapat ulama berkenaan dengan pengertian murtad:

Mazhab Hanafi: “Murtad ialah ibarat daripada kembali daripada iman kepada kufur.” Lihat Bada’i al-Sana’i dan Hasyiah Ibn Abidin (4/221).
Mazhab Maliki: “Iaitu orang Islam yang kufur dengan nyata sama ada dengan perkataan atau perbuatan yang mengandungi kekufuran.” Lihat Minah al-Jalil (4/461).
Mazhab Syafie: “Iaitu memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya.” Lihat Mughni al-Muhtaj (4/134).
Mazhab Hanbali: “Siapa yang kufur dengan sukarela walaupun sudah mumayyiz selepas Islamnya dengan perkataan, iktikad, ragu dan syak tentang Islam walaupun secara bergurau dan walaupu keIslamannya dipaksa dengan cara sebenar.” Lihat al-Raud al-Nadi Syarh Kafi al-Mubtadi (hal. 479).

Meneliti pendapat fuqaha melalui definisi masing-masing, penulis dapat membuat beberapa noktah persamaan antara mereka iaitu:
 Keluar daripada Islam.
Sama ada perisytiharan dengan ucapan, perbuatan atau niat.
Keluar tersebut sama ada secara bergurau, ingkar atau iktikad.

Akhirnya, penulis mengemukakan takrif secara keseluruhan seperti yang dinukilkan daripada kitab Uqubah al-I’dam (hal. 349) menyebut: Murtad ialah seseorang Islam secara pilihan dengan Islamnya telah memutuskan untuk keluar sama ada dengan ucapan, perbuatan atau iktikad atau meragui apa yang telah dimaklumi dalam agama secara darurat.

Semoga Allah memelihara kita daripada terjerumus ke lembah kemurtadan yang akhirnya kita berada dalam keadaan keredhaan Allah dengan ilmu dan juga keyakinan yang terwujud pada diri kita.

Akhukum Fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

PAGE FACEBOOK BAHARU


Assalamualaikum,

Kini blog https://irfan-irsyad.com/ mempunyai laman web atau page sendiri di Facebook. Setiap artikel terbaru, insyaAllah akan dikongsi di page Mencari Keredhaan Illahi di Facebook. Mohon jasa baik rakan-rakan untuk kongsikan laman page facebook ini untuk memudahkan lagi capaian ke laman web https://irfan-irsyad.com/ . Terima kasih.

logoo

SOLAT TAUBAT NASUHA


 

solat taubat nasuhaSolat Sunat Taubat dilakukan selepas seseorang itu melakukan dosa dan kesalahan atau perlanggaran hukum-hukum agama atau berasa dirinya bersalah dan berdosa kepada Allah SWT. kemudian menyesali atas perbuatan itu dan ingin kembali semula ke jalan Allah (bertaubat).

Rasulullah SAW. telah bersabda: “Sesiapa yang pernah melakukan perbuatan dosa, bersegeralah berwuduk kemudian dirikan solat dan mohonlah keampunan kepada Allah SWT., Allah pasti akan menerima permohonannya itu. Kemudian bacalah ayat ini:

“Mereka yang pernah mengerjakan perbuatan dosa atau telah berbuat dosa terhadap dirinya sendiri lalu mereka bersegera mengingati Allah dengan memohon keampunan Ilahi terhadap dosa yang dilakukan itu. Siapakah yang akan mengampuni segala dosa, selain Allah? Kemudian itu mereka berasa insaf dan sedar serta tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi, maka mereka akan diberi pahala dan ganjaran syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan disitulah tempat mereka selamanya.”  (HR Abu Daud, Nasa’I, Ibnu Majah dan Baihaqi.)

Solat Taubat boleh dilakukan dua, empat atau enam rakaat pada bila-bila masa yang dikehendaki, tetapi lebih afdal pada waktu tengah malam dimana suasananya lebih sunyi dan tenang.

Fadhilat Taubat:

1. Diampunkan Allah SWT.

2. Dimudahkan segala urusan.

3. Menceriakan kehidupan seharian.

4. Menghilangkan perasaan yang menekan.

5. Mencegah dosa dan menghindari gangguan.

CARA SOLAT TAUBAT

1.  Niat Solat Sunat Taubat:

niat-solat-sunat-taubat-rumi-1

2.  Bacaan surah selepas Al-Fatihah:

Rakaat pertama:   Surah Al-Kafirun

Rakaat kedua:   Surah Al-Ikhlas

3.  Semasa  sujud terakhir pada rakaat kedua (sebelum duduk Tahiyyat Akhir) iaitu selepas membaca tasbih biasa, bacalah Tasbih berikut 40 kali:

tasbih-sujud-taubat-sq

“Laa-i-la-ha il-la an-ta sub-haa-na-ka in-niy kun-tu mi-naz-zhoo li-miyn.”

Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini termasuk daripada golongan orang yang aniaya (zalim).

4.  Setelah memberi salam hendaklah memperbanyakkan beristighfar :

a. Bacalah istighfar berikut sebanyak 10 / 100 kali;

istighfar-a-sq

“As-tagh-fi-rul-Laa-hil ‘A-ziym, al-la-dziy laa i-la-ha il-laa hu-wal hai-yul qoi-yuum wa-a-tuu-bu i-laih.”

Daku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus dan daku bertaubat kepada-Nya.

b.  Sambung baca Istighfar Tauhid berikut sebanyak 10 / 100 kali;

istighfar-b-sq

“As-tagh-fi-rul-Laa-hil ‘A-ziym, al-la-zii laa i-la-ha il-laa hu-wal hai-yul qoi-yuum wa-a-tuu-bu i-laih. Tau-ba-ta ‘Ab-di zhoo-li-mi laa yam-li-ku li-naf-si-hi dhor-raa, wa-laa naf-‘an wa-laa mau-tan wa-laa ha-yaa-tan wa-laa nu-syuu-raa.”

Daku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tiada menguasai akan dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan manfaat serta tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.

c.  Kemudian bacalah Penghulu Istighfar sebanyak 3 Kali :

penghulu-istighfar-crop

“AL-Laa-Hum-ma an-ta rab-bi Laa i-la-ha il-laa an-ta kho-laq-ta-ni wa-a-naa ‘ab-du-ka wa-a-naa ‘a-laa ‘ah-di-ka wa-wa’-di-ka mas-ta-th0′-tu, a-‘uu-dzu-bi-ka min syar-ri-maa sha-na’-tu, a-buu u-la-ka bi-ni’-ma-ti-ka ‘a-lay-ya wa-a-bu-u bi-dzan-bi fagh-fir-lii, fa-in-na-hu laa yagh-fi-rudz dzu-nuu-ba il-laa an-ta.”

Ya Allah! Dikaulah Tuhanku, Tiada Tuhan melainkan Dikau; Dikau yang menciptakan daku dan daku adalah hamba-Mu. Dan sedaya mampuku, daku berpegang dengan janji dan sumpah setiaku terhadap-Mu. Daku memohon perlindungan-Mu daripada segala kejahatan yang telah dilakukan; Daku mengakui akan segala nikmat yang Dikau berikan kepadaku dan daku mengakui akan dosa-dosaku. Maka ampunilah daku kerana tiada yang mengampuni dosa-dosa kecuali Dikau.

5.  Baca Doa Taubat

doa-solat-sunat-taubat-sq-a

Daku memohon ampun kepada Allah, Daku mohon ampun kepada Allah, Daku mohon ampun kepada Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus!

Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tidak berdaya untuk menolak mudharat atau berbuat manfaat dan tidak mampu mematikan atau menghidupkan mahupun membangkitkan (di Padang Mahsyar kelak).

Daku mohon perlindungan-Mu daripada dosa, kemalasan, dugaan kubur dan seksanya. Daku mohon perlindungan-Mu daripada segala kesalahan dan hukuman.

Ya Allah! Bersihkanlah diriku daripada dosa-dosa sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kekotoran. Ya Allah! Sesungguhnya daku bertaubat kepada-Mu di atas segala dosaku, dan daku berjanji tidak akan mengulanginya.

Ya Allah! Pengampunan-Mu adalah lebih luas daripada dosa-dosaku dan pengampunan-Mu terhadapku adalah lebih tertunai daripada amalan baikku. Ya Allah! Sesungguhnya daku telah banyak sekali menganiaya diriku sendiri, tiada yang dapat mengampuni dosaku itu kecuali Dikau; Maka berikanlah daku keampunan-Mu, kasihanilah daku. 

Ya Allah, Ya Tuhanku! Terimalah taubatku, suci bersihkanlah segala dosaku dan kabulkanlah permohonanku. Sesungguhnya Dikau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang!

SUMBERshafiqolbu.wordpress.com

KEPERLUAN MEMBACA SIGHAH TA’LIQ


irfanirsyad2

Soalan:
Apakah keperluannya/baiknya membaca sighah ta’liq yang biasa diamalkan di Malaysia. Adakah dalam undang undang keluarga Islam di negeri-negeri di Malaysia, bacaan ta’liq wajib dibaca ataupun ia hanya satu keharusan sahaja. Kenapa dalam majlis yang mulia iaitu majlis akad nikah, kita terus membacakan lafaz-lafaz talak walaupun lafaz talak tersebut adalah bersyarat?

Jawapan:

Islam mensyariatkan perkahwinan dan menetapkan peraturan yang sempurna berdasarkan prinsip yang kukuh dan menjamin kestabilan masyarakat, kebahagiaan keluarga, tersebarnya kebaikan, pemeliharaan budi pekerti dan mengekalkan generasi manusia. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا 
Maksudnya: Maka, kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: Dua, tiga atau empat.
(Surah al-Nisa’: 3)

Firman Allah SWT lagi:
وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ
Maksudnya: Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan.
(Surah al-Nur: 3)

Begitu juga hadis, daripada Abdullah bin Mas’ud RA, sabda Rasulullah SAW:
يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ
Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di kalangan kamu yang mampu berkahwin, maka kahwinlah kerana ia dapat menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Sebaliknya, jika tidak mampu, hendaklah berpuasa kerana puasa itu merupakan pengekang nafsu.”
Riwayat al-Bukhari (4779) dan Muslim (1400)

Sebelum menjawab isu ta’liq, suka dinyatakan bahawa kadar perceraian di Malaysia cukup menakutkan. Ada yang menganggarkan setiap 15 minit 1 perceraian dan bilangan kes seperti ini telah meningkat sebanyak dua kali ganda berbanding 8 tahun yang lalu. Antara punca perceraian ialah ketidakbertanggungjawaban dan juga penderaan terhadap pasangan terutamanya kepada isteri.

Sebenarnya isu ta’liq ini amat penting dilihat dalam aspek yang lebih meluas. Ini kerana matlamat undang-undang ialah untuk menjaga keharmonian serta hak setiap individu. Begitu juga dalam masalah lafaz ta’liq ini. Kesemuanya ini berdasarkan kepada pengalaman mereka yang telah melayari bahtera rumah tangga dimana terdapatnya badai sehingga hak-hak isteri diabaikan. Justeru, sebagai (سَدُّ الذَّرِيْعَة) undang-undang taklik ini diperkenalkan.
PENULIS BERPENDAPATPenulis berpendapat dengan situasi dan banyak kes yang berlaku sighah ta’liq dan lafaz amat wajar untuk diadakan walaupun mungkin keperluan untuk meminda beberapa syarat dan ta’liq oleh pakar-pakar dan pengkaji berkenaan dengan isu ini.
Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita lebih memahami akan tanggungjawab dan hak suami isteri yang perlu ditunaikan oleh pasangan masing-masing.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

PEMBAHARUAN LAMAN WEB IRFAN-IRSHAD


ASSALAMUALAIKUM RAKAN-RAKAN;

HARI INI PIHAK ADMIN TELAH UPGRADE ADDRESS BARU LAMAN WEB YANG SEBELUM INI ADALAH irfanirsyad.wordpress.com. LAMAN WEB TERBARU IALAH http://www.irfan-irsyad.com. SEMOGA DENGAN UPGRADE BARU INI, LEBIH SENANG UNTUK RAKAN-RAKAN MENGUNJUNGI LAMAN WEB KAMI UNTUK MENDAPATKAN MAKLUMAT MENGENAI ARTIKEL-ARTIKEL BERTERASKAN AGAMA. DIHARAP RAKAN-RAKAN KONGSIKAN LAMAN WEB INI KEPADA ORANG RAMAI UNTUK CARIAN MAKLUMAT YANG DIPERLUKAN. TERIMA KASIH KERANA SERING MENGUNJUNGI LAMAN WEB KAMI.

UNTUK PENGETAHUAN TAMBAHAN, NAMA IRFAN IRSYAD UNTUK BLOG INI ADALAH NAMA ANAK KEMBAR ADMIN YANG KINI BERUMUR 7 TAHUN. SEMOGA WUJUDNYA LAMAN WEB INI BERMANFAAT UNTUK SEMUA.

TERIMA KASIH.

%d bloggers like this: