SOLAT (DUDUK ANTARA DUA SUJUD DAN ISTIRAHAH)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://fiqh-am.blogspot.com)

Apa hukum duduk antara dua sujud?

Hukumnya adalah wajib. Tidak sah solat tanpa diselangi dua sujud tadi dengan duduk. Ini berdalilkan banyak hadis, antara hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan solat Nabi s.a.w.;

Apabila bangkit dari sujud (pertama), Nabi s.a.w. tidak sujud (kali kedua) melainkan setelah duduk dengan sempurna lebih dahulu. (Riwayat Imam Muslim).

Bagaimana melakukan duduk antara dua sujud yang sempurna?

1. Semasa hendak mengangkat kepada sujud, ucapkan takbir tanpa mengangkat dua tangan.

2. Semasa duduk disunatkan duduk secara iftirasyh iaitu dengan menghamparkan kaki kiri, meletakkan punggung di atas hamparan kaki kiri itu dan kaki kanan pula dipacakkan dengan jari-jarinya menghala ke arah qiblat. Abu Humaid r.a. menceritakan;

…apabila Nabi mengangkat kepalanya (dari sujud baginda yang pertama), baginda melipat kaki kirinya dan duduk di atasnya” (Riwayat Imam Abu Daud).

Sabda Nabi (tatkala mengajar seorang yang salah dalam mengerjakan solat);

…Apabila kamu bangun dari sujud, duduklah di atas pahamu yang kiri” (Riwayat Abu Daud dari Rifa’ah bin Rafi’ r.a.).

3. Harus juga duduk secara Iq’ak iaitu duduk dengan meletakkan dua pangkal paha (yakni punggung) di atas dua tumit kaki di mana dua kaki dipacak/ditegakkan di atas jari-jarinya dan kedua lutut diletakkan di atas tanah. Keharusan duduk secara iq’ak ini berdasarkan hadis dari Thawus yang menceritakan;

Kami bertanya Ibnu ‘Abbas r.a. berkenaan duduk al-Iq’ak di atas dua kaki (semasa mengerjakan solat)?. Maka ia menjawab; ‘Ia adalah sunnah Nabi s.a.w.’.” (Riwayat Imam Muslim).

4. Duduk antara dua sujud ini wajib dilakukan dengan Tomaninah.

5. Disunatkan semasa duduk antara dua sujud ini kita membaca doa yang warid dari Nabi iaitu;

رَبّ اغْفِرْ لِيْ وارْحَمْنِي واجْبُرْنِي وَارْفَعْنِي وَارْزُقْنِي وَاهْدِني وَعَافِني

“Tuhanku! Kurniakanlah keampunan untukku, rahmatilah daku, perbaikilah diriku, angkatlah darjatku, kurniakanlah rezki kepadaku, berilah hidayah kepadaku dan maafkanlah daku”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Abu Daud. Riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang hasan menurut Imam an-Nawawi. Lihat; al-Azkar, kitab Ma Yaqulu Iza Dakhala fis-Solah).

Menurut sebahagian ulamak (termasuk dari mazhab Syafi’ie); selain dari bacaan yang terdapat dalam hadis, diharuskan untuk berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat ketika duduk antara dua sujud itu.

Apa itu duduk istirahah?

Duduk istirahah ialah duduk yang ringkas sebelum bangun (ke rakaat kedua atau keempat) selepas sujud kedua bagi rakaat pertama dan ketiga (jika solat empat rakaat). Duduk istirahah ini hukumnya adalah sunat berdalilkan hadis dari Malik bin al-Huwairis al-Laitsi yang menceritakan;

Bahawa ia melihat Rasulullah s.a.w. menunaikan solat. Ketika baginda berada dalam rakaat yang ganjil dari solatnya, baginda tidak bangun (untuk ke rakaat seterusnya setelah bangkit dari sujud kedua) melainkan setelah duduk terlebih dahulu. (Riwayat Imam al-Bukhari, Abu Daud, an-Nasai dan at-Tirmizi).

Duduk Istirahah ini hanya sekejap sahaja dan tidak ada sebarang bacaan doa atau zikir yang sunat dibaca ketika duduk itu. Cara duduk yang disunatkan bagi duduk istirahah ini ialah duduk secara Iftirasyh.

Tatkala bangun untuk ke rakaat berikutnya, mana dulu yang di angkat; lutut atau tangan?

Terdapat dua pandangan dari ulamak;

Pertama; pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad; dimulai dengan mengangkat muka, kemudian dua tangan dan seterusnya dua lutut, iaitu bangun dengan menekankan dua tangan ke atas dua paha. Cara ini ini adalah sebalik kepada cara ketika turun sujud tadi (mengikut pendapat jumhur). Mereka berdalilkan hadis dari Wail bin Hujrin r.a. tadi yang menceritakan;

Aku telah melihat Nabi apabila sujud, baginda meletakkan dua lututnya sebelum dua tangannya dan apabila bangkit dari sujud, baginda mengangkat dua tangannya (terlebih dahulu) sebelum dua lututnya” (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Kedua; pandangan mazhab Imam Malik dan Syafi’ie; sunat didahulukan mengangkat dua lutut dari dua tangan, iaitu bangun dengan menekan dua tangan ke atas lantai, bukan dengan menekan dua tangan ke atas dua paha sebagaimana pandangan pertama di atas. Mereka berdalilkan hadis dari Malik bin al-Huwairth yang menceritakan sifat solat Nabi;

….apabila mengangkat kepala dari sujud kedua (di rakaat pertama), beliau duduk dengan lurus (yakni duduk istirahah-pent.), kemudian beliau bangun dengan menekan (dua tangan) ke atas tanah” (Riwayat Imam al-Bukhari). Begitu juga, hadis dari Nafi’ yang menceritakan; “Ibnu ‘Umar r.a. tatkala bangun dari sujud, beliau menungkat di atas dua tangannya (yakni dengan menekan dua tangan ke atas tanah-pent.)” (Riwayat Imam al-Baihaqi dalam as-Sunan al-Kubra).

(Rujuk; Zadul-Ma’ad, 1/240, as-Solah ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, hlm. 147).

KEMUSYKILAN SOLAT JAMAK DAN QASAR


Solat Jama’ & Qasar

Koleksi Kemusykilan dari Darul Numan.com

  1. Jama’ dan Qasar Hari Jumaat
  2. Cara Solat Qasar
  3. Cara Solat Jamak (Taqdim dan Ta’khir)
  4. Solat Jumaat Bagi Musafir
  5. Solat Dalam Kapal Terbang
  6. Musafir yang Telah Bermastautin
  7. Syarat Sembahyang Qasar
  8. Solat Jama’ Ta’khir di Rumah
  9. Makna Perjalanan 2 Marhalah
  10. Solat Jamak Takdim
  11. Tempoh Musafir
  12. Syarat-syarat Jamak Ta’khir
  13. Waktu Mula Dibolehkan Solat Qasar

1. Jama’ dan Qasar Hari Jumaat
Soalan:
Bolehkah saya jama’ dan qasar sembahyang Zuhur dan asar (hari Jumaat) dalam perjalanan yang cukup syarat (seperti melebihi dua marhalah dan bagi tujuan yg baik) sekiranya saya memulakan perjalanan saya itu selepas terbitnya fajar pada hari Jumaat atau wajib bagi saya menunaikan solat Jumaat dahulu dan selepas itu terus jamak untuk solat asar?

Hamba Allah

Jawapan:
Musafir, sekalipun waktu solat Jumaat didirikan itu ia sedang berhenti maka ia tidak dituntut mengerjakan solat tersebut. Sebahagian besar ahli berpendapat bahawa bagi musafir tidak ada kewajipan Jumaat, sebab Nabi SAW ketika dalam perjalanan tidaklah mengerjakan solat Jumaat, begitu juga halnya ketika baginda mengerjakan haji Wada’ di Arafah yang jatuh pada hari Jumaat baginda hanya solat Zuhur dan Asar secara Jama’ Taqdim dan tidak melakukan solat Jumaat dan demikianlah pula yang dilakukan khalifah setelah wafatnya Rasulullah SAW.

Kembali ke atas ?


2. Cara Solat Qasar
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk melakukan solat Qasar?

Nazri

Jawapan:
Solat qasar ertinya memendekkan solat dari empat rakaat menjadi dua rakaat. Solat yang boleh dipendekkan menjadi dua rakaat Isyak, Zuhur dan Asar. Solat jamak dan qasar boleh dilakukan apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah.

Tentang jarak dua marhalah itu ulama’ berbeza pendapat, ada yang mengatakan 48 batu, ada yang mengatakan 52 batu dan ada pendapat 60 batu. Salah satu pendapat bolehlah kita pegang.

Kembali ke atas ?


3. Cara Solat Jamak (Taqdim dan Ta’khir)
Soalan:
Saya sudah terlupa bagaimana hendak melakukan Jamak (Taqdim & Ta’khir).

Nazri

Jawapan:
Solat jamak ertinya menghimpunkan dua solat dalam satu waktu, misalnya menghimpunkan solat Zuhur kepada Asar dan sebaliknya serta fardhu Maghrib dan Isyak dan sebaliknya.
Jamak Taqdim adalah bila solat Zuhur dijamakkan dengan Asar pada waktu Zuhur, solat Maghrib dan Isyak pada waktu Maghrib. Syarat jamak Taqdim iaitu dimulai dengan solat yang punya waktu, niat jamak pada solat yang pertama, muwalat atau berturut-turut, berkekalan musafirnya hinggalah takbir solat yang kedua.

Jamak Ta’khir adalah, melaksanakan solat Zuhur dan Asar pada waktu Asar, solat Maghrib dan Isyak pada waktu Isyak. Syaratnya berniat hendak menta’khirkan solat yang pertama pada waktu yang kedua, berkekalan musafir sehingga selesai kedua-dua solat. Solat jamak Tak’hir tidak disyaratkan tertib ertinya boleh yang mana dahulu dan yang mana kemudian.

Kembali ke atas ?


4. Solat Jumaat Bagi Musafir
Soalan:
Adakah orang musafir wajib menunaikan solat Jumaat menurut Mazhab Shafi’e?

Amu, JB

Jawapan:
Musafir, sekalipun waktu solat Jumaat didirikan itu ia sedang berhenti maka ia tidak dituntut mengerjakan solat tersebut. Sebahagian besar ahli berpendapat bahawa bagi musafir tidak ada kewajipan Jumaat, sebab Nabi SAW ketika dalam perjalanan tidaklah mengerjakan solat Jumaat, begitu juga halnya ketika baginda mengerjakan haji Wada’ di Arafah yang jatuh pada hari Jumaat baginda hanya solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim dan tidak melakukan solat Jumaat. Demikianlah pula yang dilakukan khalifah setelah wafatnya Rasulullah SAW.

DN 084 Panduan Musafir – Solat Jama’ & Qasar

Kembali ke atas ?


5. Solat Dalam Kapal Terbang
Soalan:
Saya ingin tahu, bagaimana kedudukan kiblat semasa berada dalam kapal terbang? Mungkin saudara dapat bantu saya. Sekian terima kasih.

Azis, UKM

Jawapan:
Di dalam kenderaan sekiranya dalam keadaan darurat sehingga tidak dapat berdiri atau tiada disediakan tempat khas untuk solat maka berkiblat setakat mana yang boleh.

Bagi penumpang kenderaan lain misalnya keretapi atau kapal laut maka hendaklah menghadap kiblat semasa takbirratulihram, kemudian bolehlah menghadap ke arah lain mengikut peralihan kenderaan.

Kembali ke atas ?


6. Musafir yang Telah Bermastautin
Soalan:
Saya baru balik bermusafir, adakah saya masih boleh menunaikan sembahyang secara jamak atau qasar sebaik sahaja saya sampai semula ke tempat saya bermastautin?

Auziera, K Lumpur

Jawapan:
Jika kita telah sampai ke tempat kediaman atau mukim kita, maka tidak perlulah kita mengerjakan solat jamak dan qasar sebab perjalanan kita telah berakhir. Untuk lebih jelas sila rujuk soalan 2 & 3.

Kembali ke atas ?


7. Syarat Sembahyang Qasar
Soalan:
1. Apakah syarat-syarat yang membolehkan kita sembahyang qasar?
2. Saya tinggal di bandar AMBS dan pergi ke Kuala Terengganu yang jaraknya 96 KM atas tugas pejabat. Dalam perjalanan pulang ke AMBS, saya telah singgah di masjid Ajil (telah masuk waktu Zuhur) dan sembahyang jamak takdim serta qasar bagi sembahyang Zuhur dan asar. Bolehkah saya berbuat demikian..?

Saarini, Dungun

Jawapan:
Dalam mengerjakan solat jamak dan qasar jarak yang ditempuh hendaklah lebih dua marhalah (91 Kilometer atau 56 batu) dengan niat dan tujuan yang baik. Dengan demikian dari segi jarak yang anda tempuh membolehkan anda melakukan solat jamak dan qasar tersebut.

Kembali ke atas ?


8. Solat Jama’ Ta’khir di Rumah
Soalan:
Bolehkah saya mengqada’kan sembahyang Zuhur ke dalam waktu Asar (Jama’ Ta’khir) apabila saya telah samapai ke rumah saya. Saya tidak sempat untuk menjama’nya ketika dalam perjalanan kerana saya menaiki bas. Adakah sah sembahyang saya itu? Jika tidak boleh adakah saya wajib untuk mengqada’ sembahyang saya itu kerana kejahilan saya?

Azhar, Johor Bahru

Jawapan:
Jila seorang musafir sampai di rumahnya sedangkan ia belum selesai mengerjakan Solat Jama’ Ta’khir, setengah ulama mengatakan dikira solat tunai. Solat itu wajiblah dikerjakan dengan solat sempurna, jika Zuhur, Asar atau Isyak empat rakaat tidak lagi boleh diqasarkan. Jika tertinggalnya solat tersebut kerana halangan tertentu seperti sukar menemukan tempat solat kerana naik bas ataupun kapal terbang maka perlulah ia mengqada solat yang tertinggal tersebut. Wallahu A’lam.

Kembali ke atas ?


9. Makna Perjalanan 2 Marhalah
Soalan:
Assalamualaikum wrt. wbt. Betulkah syarat untuk orang berbuka puasa itu bagi perjalanan jauh sejauh 80640 km? Saya agak keliru. Bagaimana pula dengan perjalanan yang dikatakan 2 marhalah tu?

Khalid, KL

Jawapan:
Perjalanan dua marhalah itu terdiri dari 80,640 m atau 80.64 km.bersamaan 52 batu (1 batu = 1.55 km. dan 52 batu x 1.55 km = 80.64 km, menurut mesin kira canggih) bukan seperti yang saudara maksudkan di atas. Mungkin juga buku yang saudara rujuk tersilap taip. Wallahu A’lam.

Kembali ke atas ?


10. Solat Jamak Takdim
Soalan:
Assalamualikum, saya bermusafir lebih daripada 2 marhalah. Apabila tiba waktu solat Zuhur bolehkah saya solat Jama’ Takdim sedangkan apabila saya sampai ke rumah nanti waktu Zuhur masih ada lagi ataupun waktu Asar baru sahaja masuk. Jika keadaan itu berlaku adakah saya hanya boleh mengqasarkan sahaja solat Zuhur iaitu tidak boleh Jama’?

Azizi, Serdang

Jawapan:
Jika perjalanan anda itu telah sampai dua marhalah maka anda boleh untuk melakukan solat jamak dan qasar. Jika perjalanan itu tidak sepenuhnya (bermusafir) dan ketika waktu Asar masuk telah sampai di rumah, maka lebih baik mengqasar solat Zuhur tersebut.

Kembali ke atas ?


11. Tempoh Musafir
Soalan:
Bolehkah saya melakukan solat jamak dan qasar berterusan selama 3 hari di rumah keluarga saya ketika saya menziarahi mereka?

Halim ,Kota Tinggi

Jawapan:
Tempoh seorang musafir itu diharuskan mengqasar solatnya apabila sampai ke destinasi yang dituju ialah tidak lebih dari tiga hari penuh (tidak termasuk hari ketibaan dan hari berangkat balik). Ini jika sebelum bertolak ia berniat hendak bermukim di situ selama tidak lebih dari masa tersebut. Setelah tiga hari, sekiranya ia melanjutkan lagi tempoh menetap di situ maka wajiblah solat sempurna, tidak qasar dan jamak lagi.

Kembali ke atas ?


12. Syarat-syarat Jamak Ta’khir
Soalan:
Bolehkah saya melakukan solat jamak takhir ketika sampai di rumah saya sendiri selepas pulang meziarahi mereka (Zuhur di takhirkan kepada asar)?

Halim ,Kota Tinggi

Jawapan:
Solat Jamak Ta’khir hanya sah dikerjakan apabila dapat memenuhi dua syarat yang berikut :-

1. Berniat hendak menjamakkan kedua-dua solat dalam waktu solat yang pertama. Apabila berniat hendak menjamakkan solat fardhu Zuhur dengan solat fardhu Asar dengan Jamak Ta’khir, maka sebaik sahaja masuk fardhu Zuhur atau masih ada waktu Zuhur berniatlah dalam hati hendak menjamakkan kedua solat fardhu Zuhur dan Asar pada waktu Asar nanti. Jika anda tidak berniat demikian sehingga luput waktu Zuhur, maka anda dikira berdosa dan solat fardhu Zuhurnya hendaklah di Qada’ tidak boleh dijamakkan lagi.

2. Hendaklah berkekalan masa musafirnya sehingga selesai solat yang kedua (Asar ataupun Isyak). Jika anda sedang solat dalam kenderaan (misalnya naik kapal) dan anda mengetahui ketika itu kapal tersebut telah tiba di tempat anda, maka wajiblah anda meneruskan solat dengan solat yang sempurna.

Kembali ke atas ?


13. Waktu Mula Dibolehkan Solat Qasar
Soalan:
Bilakah waktunya melakukan solat qasar, adakah setelah perjalanan sejauh dua marhalah? Bolehkah diqasarkan solat sebelum perjalanan bermula?

Abd Talib, Kulim

Jawapan:
Waktu dibolehkan kepada seseorang yang ingin bermusafir mengqasarkan solatnya ialah setelah keluar dari kawasan kampungnya. Setelah melepasi bangunan terakhir di kampungnya, di situ barulah ia dibolehkan mengqasarkan solatnya. Inilah pendapat majoriti ulamak Islam termasuk imam Asy-Syafii. Pendapat yang mengatakan boleh mengqasarkan solat di rumah sebaik sahaja seseorang itu berniat hendak musafir adalah pendapat yang dikemukakan oleh imam Ata’.

Walaubagaimanapun pendapat imam Atta’ ini sangat lemah dan ditolak oleh majoriti ulama. Dengan ini dapatlah disimpulkan menurut majoriti ulama masa yang dibolehkan mengqasarkan solat ialah selepas seseorang itu keluar dari kampung halamannya dengan melepasi bangunan terakhir di kampungnya itu.

Kembali ke atas ?

SOLAT (I’TIDAL)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://fiqh-am.blogspot.com)

Apa makna I’tidal? Apa hukumnya?

I’tidal bermaksud; kembali semula selepas ruku’ kepada keadaan sebelum ruku’ sama ada seseorang itu menunaikan solat sambil berdiri atau sambil duduk. Jika seseorang itu menunaikan solat dengan berdiri, I’tidal ialah dengan ia kembali berdiri lurus/tegak selepas bangkit dari ruku’ sebelum turun untuk sujud.

Hukum I’tidal adalah wajib. Tidak sah solat tanpa melakukannya. Dalil kewajipan I’tidal ini ialah hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan tentang solat Nabi s.a.w.; “Apabila mengangkat kepala dari ruku’ (yakni bangkit dari ruku’), Nabi s.a.w. tidak sujud melainkan setelah berdiri dengan sempurna lebih dahulu (yakni berdiri I’tidal)”.
(Riwayat Imam Muslim)

Bagaimana melakukan I’tidal dengan sempurna?

1. Apabila hendak bangkit dari ruku’, ucapkanlah; “سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ” (bermaksud; Allah mendengar (dan menjawab) orang yang memujinya) sambil mengangkat kedua tangan setentang bahu atau setentang dua telinga.

2. Apabila telah tegak berdiri, bacalah;

اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ الأَرْضِ، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ

Ya Allah! Wahai Tuhan Kami, untukMulah pujian kami, (pujian) yang mengisi sekelian langit dan bumi serta mengisi apa yang Engkau kehendaki dari sesuatu selepasnya” (Riwayat Imam Muslim).

3. I’tidal wajib dilakukan dengan tomaninah iaitu memastikan diri berada dalam keadaan tetap dan tenang dalam posisi I’tidal (berdiri lurus) itu sebelum turun sujud. Jika seseorang membaca zikir di atas semasa I’tidalnya, maka ia telah memenuhi tuntutan tomaninah semasa I’tidalnya.

Adakah makmum juga disunatkan membaca “SAMI’ALLAHU LIMAN HAMIDAH” sebagaimana imam atau atau ia hanya membaca “RABBANA LAKAL-HAMDU..” sahaja?

Persoalan ini terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pandangan pertama; menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; Disunatkan kepada semua orang yang menunaikan solat sama ada solat sendirian, menjadi imam atau makmum untuk membaca; (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ…..) dan (رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ) dengan menghimpunkan kedua-duanya iaitu membaca (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ)  ketika mula bangkit dari ruku’ dan membaca (رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ….) apabila sudah berada dalam I’tidal. Mereka berdalilkan hadis Ibnu Abi Aufa r.a. yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila mengangkat belakangnya dari ruku’, baginda mengucapkan;

سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، مِلْءَ السَّمَاوَاتِ وَمِلْءَ الأَرْضِ، وَمِلْءَ مَا شِئْتَ مِنْ شَيْءٍ بَعْدُ

“Allah mendengar (dan menjawab) orang yang memujinya. Ya Allah! Wahai Tuhan Kami, untukMulah pujian kami, (pujian) yang mengisi sekelian langit dan bumi serta mengisi apa yang Engkau kehendaki dari sesuatu selepasnya” (Riwayat Imam Muslim).

Di dalam hadis ini, Nabi membaca kedua-duanya sekali tanpa memisahkannya.

Pandangan kedua; menurut sebahagian ulamak –antaranya Imam Ahmad dan Ibnu al-Munzir-; ucapan (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ…..) dibaca oleh imam sahaja, adapun makmum hendaklah terus membaca (رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ….) dan tidak perlu mereka membaca (سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ…..). Mereka berdalilkan hadis Abu Hurairah r.a. yang menceritakan Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya; “

Apabila Imam telah berkata: “سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ”, maka hendaklah kamu membaca;

اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Ya Allah, wahai Tuhan kami, bagiMulah segala pujian”.

Maka sesungguhnya siapa yang bacaannya bersamaan dengan bacaan malaikat, nescaya akan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu”. (Riwayat Imam Muslim)

Adakah harus memanjangkan I’tidal?

Harus, berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. setelah mengucapkan “Sami’allahu liman hamidah”, baginda berdiri (begitu lama) sehingga kami berkata; ‘Beliau telah lupa’. Kemudian baginda sujud dan duduk di antara dua sujud (dengan begitu lama) hingga kami berkata; ‘Baginda telah lupa’” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam as-Syaukani; hadis ini menjadi dalil keharusan memanjangkan I’tidal dan duduk antara dua sujud. (Nailul-Autar, juz. 2, kitab as-Solah).

SOLAT (RUKU’)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://fiqh-am.blogspot.com)

Apa hukum ruku’?

Ruku’ adalah wajib di dalam solat. Tidak sah solat tanpa ruku’. Seorang sahabat Nabi s.a.w. iaitu Huzaifah r.a. pada suatu hari ia melihat seorang lelaki menunaikan solat tanpa melakukan ruku’ dan sujud dengan sempurna. Maka ia berkata; “Engkau sebenarnya tidak mengerjakan solat. Jika engkau mati, engkau mati bukan di atas fitrah Nabi Muhammad s.a.w.” (Riwayat oleh Imam al-Bukhari).

Bagaimana melakukan ruku’ dengan sempurna?

  1. Sebelum menundukkan badan untuk ruku’, ucapkan takbir sambil mengangkat tangan –setentang bahu atau telinga-, kemudian barulah turunkan badan.
  2. Tapak tangan hendaklah mencapai lutut, jari-jari tangan direnggangkan antara satu sama lain dalam keadaan memegang lutut. Abu Humaid as-Sa’idi r.a. menceritakan; “Nabi tatkala ruku’, baginda menjadikan dua tangannya mencapai dua lututnya” (Riwayat al-Bukhari). Wail bin Hujrin r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. tatkala ruku’ baginda merenggangkan antara jari-jarinya dan tatkala sujud baginda menghimpunnya (yakni merapatkannya)” (Riwayat al-Hakim). Dalam hadis Ibnu ‘Umar r.a., Nabi memerintahkan; “Apabila kamu ruku’, letakkan dua tapak tanganmu di atas dua lututmu, kemudian renggangkan antara jari-jari tanganmu dan berikutnya tetapkanlah diri di dalam ruku’ itu hingga semua anggota berada di dalam posisinya” (Riwayat Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah dalam soheh keduanya).
  3. Semasa ruku’, belakang badan hendaklah diratakan/disamakan dari punggung hingga ke kepala di mana kepala berada dalam keadaan selari dengan belakang; iaitu tidak ditinggi atau didongakkan dan tidak pula ditundukkan, akan tetapi pertengahan. Ini berdasarkan hadis ‘Aisyah r.a. yang menceritakan sifat solat Nabi s.a.w; “Apabila ruku’, Nabi s.a.w. tidak meninggi atau mendongakkan kepalanya dan tidak juga menunduknya, akan tetapi tengah-tengah antara keduanya (sehingga kepalanya kelihatan rata dengan punggung)”. (Riwayat Imam Muslim)
  4. Siku hendaklah dijauhkan dari rusuk. Abu Humaid r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. tatkala ruku’, baginda meletakkan dua tangannya ke atas dua lututnya seolah-olah memegangnya, menegangkan (yakni meluruskan) dua tangannya (yakni dari pergelangan hingga bahu-pent.) serta memisahkannya dari dua rusuknya” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Hadis ini menurut Imam at-Tirmizi adalah hasan soheh).
  5. Ruku’ wajib dikerjakan dengan tomaninah iaitu berada di dalam keadaan tetap dan tenang di dalam posisi ruku’ di atas sebelum bangun darinya.
  6. Semasa ruku’ disunatkan membaca zikir-zikir yang warid dari Nabi terutamanya tasbih.

Apa makna Tomaninah? Apa hukum Tomaninah di dalam solat?

Tomaninah bermakna memastikan diri tetap, tenang dan tidak tergesa-gesa dalam sesuatu posisi solat sebelum berpindah ke posisi yang lain. Sekurang-kurang kadar tomaninah ialah sekali tasbih.

Hukum tomaninah adalah wajib semasa ruku’, I’tidal, sujud dan duduk antara dua sujud. Sabda Nabi s.a.w. (tatkala baginda mengajar solat kepada seorang lelaki yang salah dalam mengerjakan solatnya); “…..kemudian (setelah membaca al-Quran) ruku’lah sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan ruku’ itu, kemudian bangkitlah dari ruku’ hingga badan kamu lurus/tegak berdiri, kemudian sujudlah sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud itu, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan duduk (antara dua sujud) itu. Seterusnya kamu lakukanlah sedemikian pada (rakaat-rakaat) solat kamu keseluruhannya” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Tidak sah solat seorang lelaki yang tidak menetapkan tulang sulbinya semasa ruku’ dan sujud” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Mas’ud al-Badari r.a.. Hadis ini menurut beliau; hasan soheh).

Apa hukum membaca tasbih ketika ruku? Berapakah bilangan Tasbih yang sebaiknya dan berapa had maksimanya?

Hukum bertasbih semasa ruku’ adalah sunat. Selain dari tasbih, harus dibaca zikir-zikir lain yang warid dari Nabi s.a.w. semasa ruku’. Sekurang-kurang bilangan tasbih –untuk mendapat pahala bertasbih semasa ruku’- ialah sekali. Lafaznya ialah,

“سبحان ربي العطيم” atau “سبحان ربي العطيم وبحمده”.

Namun bilangan yang sempurna ialah sekurang-kurangnya tiga kali. Dari ‘Uqbah bin ‘Amir r.a. menceritakan;

Adalah Nabi s.a.w. apabila ruku’ baginda membaca;

“سُبْحَاْنَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِهِ”

tiga kali dan apabila sujud baginda membaca;

“سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ”

tiga kali” (Riwayat Imam Abu Daud. Hadis ini dinyatakan oleh Imam as-Suyuti sebagai hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, no. 6710)

Bagi yang bersolat sendirian, digalakkan memperbanyakkaan tasbih melebihi tiga kali iaitu lima, tujuh, sembilan sehingga sebelas kali. Jumhur ulamak mazhab Syafi’ie berpandangan; bilangan sebelas adalah yang maksima. Namun Imam as-Subki berpendapat; ia tidak terikat dengan bilangan tertentu. Siapa menghendaki ia boleh menambah seberapa banyak tasbih yang ia suka. Adapun orang yang menjadi imam, ia tidak digalakkan menambah terlalu banyak tasbih kerana dibimbangi memberatkan sebahagian makmumnya. Sebahagian ulamak berkata; memadai imam bertasbih tiga kali sahaja untuk memberi keringanan kepada makmumnya. Namun Ibnu al-Mubarak berpandangan; digalakkan imam bertasbih lima kali supaya makmum di belakangnya sempat bertasbih tiga kali. (Dalail al-Ahkam, 1/289).

Sunat bertasbih semasa ruku’ itu adalah pandangan jumhur ulamak. Ada di kalangan ulamak yang mewajibkannya, antara mereka ialah Imam Ahmad dan al-Hasan.

Adakah harus membaca al-Quran ketika ruku’?

Tidak harus kerana Nabi s.a.w. menegahnya dengan sabdanya;

Ketahuilah! Sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika ruku’ atau sujud. Adapun di dalam ruku’, maka hendaklah kamu agungkan Tuhan kamu. Sementara di dalam sujud, hendaklah kamu bersungguh-sungguh berdoa, nescaya doamu pasti akan diperkenankan” (Riwayat Imam Muslim).

SOLAT (FATIHAH DAN BACAAN AL-QURAN)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://fiqh-am.blogspot.com)

Apa hukum membaca al-Fatihah di dalam solat?

Membaca al-Fatihah adalah wajib pada setiap rakaat solat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Tidak ada solat bagi seorang yang tidak membaca ummul-Quran (yakni surah al-Fatihah)” (Riwayat Imam Muslim dari ‘Ubadah bin as-Shamit r.a.). Maksud tidak ada solat ialah; solat tidak sah.

Apakah syarat-syarat bacaan al-Fatihah yang sempurna?

1. Membacanya dengan memperdengarkan kepada diri sendiri. Tidak memadai membaca di dalam hati. Adapun bagi orang bisu, memadai dengan menggerakkan lidah dan dua bibirnya sekadar yang mampu.

2. Wajib menjaga makhraj serta tajwidnya. Begitu juga, wajib mengikut susunan dan berturut-turut iaitu tanpa diselangi antara ayat-ayatnya dengan berhenti yang lama.

3. Hendaklah dibaca dengan bahasa Arab. Tidak sah solat jika dibaca dengan bahasa lain, sama ada seseorang itu memahami bahasa Arab atau tidak.

Adakah Bismillah sebahagian dari al-Fatihah?

Ya. Bismillah adalah sebahagian dari al-Fatihah dan wajib dibaca tatkala membaca al-Fatihah. Dalilnya ialah apa yang tertera di dalam mushaf al-Quran di mana Bismillah ditulis sebagai ayat pertama dari al-Fatihah dan apa yang ditulis di dalam al-Quran merupakan ijmak para Huffaz.

Bagi solat jahriyyah (yakni yang sunat diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), adakah Bismillah itu perlu dibaca dengan kuat atau dibaca perlahan sahaja?

Dalam masalah ini ada dua pandangan;

Pandangan pertama; iaitu pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; Bismillah wajib dibaca dengan kuat (yakni diperdengarkan) kerana ia adalah salah satu ayat dari al-Fatihah sebagaimana yang tertera di dalam mushaf. Terdapat hadis dari Ummu Salamah –radhiyallahu ‘anha- menceritakan: “Rasulullah menghitung Bismillah sebagai satu ayat (dari al-Fatihah)”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah dengan sanad yang soheh. Kedudukan sanad hadis ini sebagai soheh juga ditegaskan oleh Dr. Mustafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha dalam kitab mereka al-Fiqhul-Manhaji (Jil. 1, hlm. 131).).

Dalam musnad Imam Syafi’ie terdapat riwayat dari Soleh Maula at-Tauamah yang menceritakan; “Sesungguhnya Abu Hurairah r.a. membuka solatnya dengan membaca Bismillah”. (Hadis yang miripnya diriwayatkan juga oleh Abdurrazzaq, ad-Daruqutni, Ibnu al-Jarud, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Darjatnya adalah soheh menurut Imam ad-Daruqutni, al-Baihaqi dan al-Hakim dengan dipersetujui oleh az-Zahabi. Lihat; Musnad Imam as-Syafi’ie, ditahqiq dan ditakhrij oleh; Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul-Muttalib, jil. 1, hlm. 256, ter. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut (2005)).

Pandangan kedua; iaitu pandangan jumhur ulamak; Bismillah hendaklah dibaca secara perlahan, tidak dikuatkan. Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Aku telah pernah menunaikan solat bersama Rasulullah s.a.w., Abu Bakar, Umar dan Ustman, maka aku tidak pernah mendengar seorang pun dari mereka yang membaca Bismillah”. (Riwayat Imam Muslim)

Dalam menselarikan antara dua riwayat yang zahirnya kelihatan saling bercanggah itu, ada baiknya kita mengambil pandangan Imam Ibnu Khuzaimah yang menyebutkan; membaca Bismillah dengan kuat atau membacanya dengan perlahan kedua-duanya adalah harus kerana kedua-duanya dilakukan oleh Rasulullah. Tidak ada salah satu darinya yang dilarang.

Perbezaan dalam hal ini adalah diharuskan. (Lihat; ulasan Dr. Rif’at Fauzi ‘Abdul-Muttalib dalam Musnad Imam as-Syafi’ie, jil. 1, hlm. 256, ter. Dar al-Basyair al-Islamiyyah, Beirut (2005)). Hal yang sama ditegaskan oleh Imam Ibnul-Qayyim dalam Zadul-Ma’ad; Rasulullah s.a.w. adakalanya baginda membaca Bismillah dengan kuat, namun baginda menyembunyikannya (yakni membacanya dengan suara perlahan) adalah lebih kerap dari menguatkannya. (Lihat; Zadul-Ma’ad, jil. 1)

Adakah makmum juga perlu membaca al-Fatihah di belakang imam? Atau memadai dengan bacaan al-Fatihah imamnya?

Dalam masalah ini ada dua pandangan ulamak;

Pertama; menurut ulamak-ulamak mazhab Imam Syafi’ie; makmum wajib membaca al-Fatihah di belakang imamnya sama ada di dalam solat sirriyah atau jahriyyah, sama ada ia dapat mendengar bacaan imamnya atau tidak.

Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; ‘Sesiapa menunaikan solat tanpa membaca di dalamnya ummul-Quran (yakni al-Fatihah), maka solatnya adalah cacat (tidak sempurna)’. Baginda mengulangi sabdanya itu sebanyak tiga kali. Lalu ditanya kepada Abu Hurairah r.a.; ‘Bagaimana jika kami menunaikan solat di belakang imam?’. Jawab Abu Hurairah r.a.; ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’” (Riwayat Imam Muslim, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Kedua; menurut jumhur ulamak (Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad); tidak wajib lagi makmum membaca al-Fatihah kerana al-Fatihahnya telah ditanggung oleh imamnya. Cuma Imam Ahmad membezakan antara dua keadaan;

(Pertama); ketika imam tidak membaca dengan kuat atau makmum tidak dapat mendengar bacaannya; maka ketika itu disunatkan makmum membaca al-Fatihah di belakang imamnya. Jika ia tidak membacanya, tidaklah mengapa (yakni solatnya masih sah) kerana ia disunatkan sahaja dan bacaan imam telah memadai untuknya. Begitu juga, disunatkan juga ia membacanya jika imamnya senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang makmumnya membaca al-Fatihah.

(Kedua); jika imam membaca dengan kuat dan makmum dapat mendengar bacaannya, ketika itu tidak disunatkan makmum membacanya (malah dimakruhkan), sebaliknya makmum hendaklah mendengar dan memberi perhatian kepada bacaan imamnya.

Ulamak-ulamak mazhab Imam Ahmad berdalilkan ayat al-Quran yang bermaksud; “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengar dengan memberi perhatian kepadanya serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat” (surah al-A’raf, ayat 204). Begitu juga, berdalilkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-), dan juga sabdanya; “Sesiapa mempunyai imam, maka bacaan imam adalah bacaan untuknya” (Riwayat Ibnu Abi Syaibah, ad-Daruqutni dan Ibnu Majah). Mengenai hadis yang dikemukakan oleh ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie di atas, mereka menjawab; hadis itu khusus untuk orang yang mengerjakan solat bersendirian atau untuk makmum yang tidak dapat mendengar bacaan imamnya. Adapun ucapan Abu Hurairah ‘Bacalah al-Fatihah itu dalam diri kamu’, ucapan tersebut merupakan pandangan beliau (bukan arahan Nabi), atau mungkin juga bacaan yang beliau maksudkan ialah bacaan ketika imam senyap seketika selepas membaca al-Fatihah untuk memberi peluang kepada makmumnya membaca al-Fatihah. (Al-Mughni, 1/392-393).

Adakah imam disunatkan senyap seketika apabila habis membaca al-Fatihah, sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah selepasnya?

Ya. Sebahagian ulamak –antaranya Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad- mensunatkan imam supaya berhenti seketika selepas membaca al-Fatihah (sebelum meneruskan bacaan ayat atau surah yang lain) bagi memberi peluang kepada makmumnya membaca al-Fatihah di belakangnya. Mereka berdalilkan hadis dari Samurah bin Judub –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa ia menghafal dari Nabi (yakni dari perbuatan baginda ketika solat) dua saktah (yakni dua ketika di mana baginda sengap); (pertama) selepas baginda mengucapkan Takbiratul-Ihram, dan (kedua) selepas membaca

“غير المغضوب عليهم ولا الضالين”

(yakni selepas membaca al-Fatihah)” (riwayat Imam Abu Daud).

Namun sebahagian ulamak yang lain –antaranya Imam Abu Hanifah dan Imam Malik- memakruhkannya. Menurut mereka hadis di atas adalah dhaif. (Al-Mughni, 1/346).

Apa hukum membaca Isti’azah sebelum membaca al-Fatitah? Adakah ia perlu di baca di setiap rakaat?

Membaca Isti’azah disunatkan sebelum membaca al-Quran sama ada di dalam solat atau di luar solat. Firman Allah (bermaksud); “Apabila kamu hendak membaca al-Quran, maka hendaklah (terlebih dahulu) kamu memohon perlindungan dengan Allah dari hasutan syaitan yang direjam” (al-Nahl: 98).

Menurut Imam Syafi’ie; Isti’azah sunat diulangi pada setiap rakaat dan yang paling utama ialah pada rakaat pertama. Imam Abu Hanifah pula berpandangan; Isti’azah hanya dibaca pada rakaat pertama sahaja. Tidak sunat diulangi pada rakaat-rakaat yang lain.

Apakah lafaz Isti’azah yang boleh dibaca di dalam solat?

Lafaz pertama;

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

“Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam”.

Lafaz ini diambil dari ayat al-Quran tadi.

Lafaz kedua;

أعُوذُ باللّه السَّمِيعِ العَلِيمِ مِنَ الشَّيْطانِ الرََّجِيمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفْثِهِ

“Aku berlindung dengan Allah Tuhan yang maha mendengar lagi mengetahui dari kejahatan syaitan yang direjam; dari kegilaannya, kebongkakannya dan sya’irnya”.

Diriwayatkan dari Abi Sa’id al-Khudri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- selepas membaca doa Iftitah, baginda membaca Isti’azah di atas sebelum membaca al-Fatihah. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan lain-lain)

Apa hukum mengucapkan aamin selepas membaca al-Fatihah? Adakah makmum mengucapkan aamin serentak dengan imam atau selepas imam mengucapkannya?

Mengucapkan aamin selepas membaca al-Fatihah adalah sunat. Ini berdasarkan sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Apabila imam selesai membaca

“غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”,

maka hendaklah kamu membaca; “آمِينَ” (aamin)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Musa –radhiyallahu ‘anhu-). Sabda Nabi lagi; “Apabila qari (yakni imam) telah membaca “غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ”, lalu orang di belakangnya (yakni makmum) membaca; “آمِينَ” dan bertepatan bacaan aminnya dengan bacaan amin penduduk langit (yakni para malaikat), nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim).

Mengucapkan aamin itu disunatkan kepada orang yang bersolat sendirian, menjadi imam atau menjadi makmum. Dalam solat jahriyyah sunat ucapan aamin diperdengarkan dan dalam solat sirriyyah sunat diperlahankannya iaitu mengikut bacaan al-Fatihah. Dalam solat berjamaah, makmum hendaklah mengucapkan aamin serentak dengan imamnya, iaitu tidak mendahuluinya dan tidak juga selepasnya, akan tetapi bersama-samanya berdalilkan hadis Abu Musa di atas.

Apa hukum membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah?

Hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencukupi ummul-Kitab itu baginya (sebagai bacaan al-Quran yang diwajibkan di dalam solat). Dan sesiapa yang menambah (dengan membaca ayat atau surah lain), maka ia adalah paling baik” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-)

Adakah ayat atau surah selepas al-Fatihah itu disunatkan pada setiap rakaat?

Tidak. Ia hanya disunatkan pada rakaat pertama dan kedua sahaja. Ini berdasarkan hadis dari Abi Qatadah yang menceritakan; “Nabi membaca pada dua rakaat yang awal (yakni rakaat pertama dan kedua) di salam solat Zohor dan Asar al-Fatihah dan satu surah yang lain. Kadang-kadang baginda memperdengarkan kepada kami bacaan ayatnya. Pada dua rakaat yang akhir (yakni rakaat ketiga dan keempat), baginda hanya membaca al-Fatihah sahaja”. (Riwayat Imam Muslim).

Adakah disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah di dalam solat jenazah?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak disunatkan.

Adakah sunat bacaan ayat atau surah selepas al-Fatihah itu dimulakan dengan Bismillah?

Menurut Imam Ibnu al-Qudamah; disunatkan dan hendaklah dibaca perlahan.

Apakah perkara-perkara yang disunatkan ketika membaca ayat atau surah di dalam al-Quran?

1. Disunatkan di dalam solat subuh dan zohor membaca surah-surah dari kelompok “طوال المفصل”. Di dalam solat asar dan isya’ disunatkan “أوساط المفصل” dan disunatkan “قصار المفصل” dalam solat maghrib.

2. Disunatkan bacaan dalam rakaat pertama lebih panjang dari rakaat kedua. Ini berdasarkan hadis riwayat Imam al-Bukhari dari Abi Qatadah yang menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. membaca pada dua rakaat pertama dari solat zohor surah al-Fatihah dan dua surah yang lain di mana baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama dan memendekkannya pada rakaat kedua dan adakalanya memperdengarkan ayat kepada kami (yakni membaca dengan kuat hingga didengari oleh kami). Dan baginda membaca dalam solat asar surah al-Fatihah dan dua surah yang lain di mana baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama. Begitu juga, baginda memanjangkan (bacaan) pada rakaat pertama dari solat subuh dan memendekkannya pada rakaat kedua”. (Riwayat Imam Bukhari)

3. Membaca satu surah pendek lebih afdhal dari membaca ayat-ayat dengan kadarnya dari surah-surah panjang. Ini berdasarkan hadis-hadis tadi yang menyebutkan; “Nabi membaca al-Fatihah dan surah”.

4. Disunatkan bacaan mengikut tertib surah dan ayat di dalam mushaf iaitu dibaca dalam rakaat pertama ayat atau surah yang terdahulu susunannya dari ayat atau surah yang akan dibaca dalam rakaat kedua. Makruh melakukan sebaliknya, namun jika dilakukan tidaklah membatalkan solat.

5. Harus membaca di dalam solat mengikut mana-mana wajah qiraat yang tujuh. Adapun wajah qiraat yang syaz, maka tidak harus.

Adakah makmun juga disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah?

Jika solat yang ditunaikan secara berjamaah adalah solat sirriyyah (yakni solat yang solat yang tidak diperdengarkan bacaan al-Quran di dalamnya), makmun juga disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah sebagaimana imamnya juga. Ini berdasarkan hadis dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Kami membaca di dalam solat Zohor dan Asar di belakang imam pada dua rakaat yang pertama surah al-Fatihah dan satu surah yang lain. Pada dua rakaat yang lain (yakni rakaat ke tiga dan ke empat), kami hanya membaca al-Fatihah sahaja” (Riwayat Imam Ibnu Majah dengan sanad yang soheh).

Akan tetapi, janganlah menguatkan bacaan hingga mengganggu ahli jamaah yang lain. Sabda Nabi; “Sesungguhnya orang yang menunaikan solat ia sedang bermunajat dengan Tuhannya. Hendaklah ia perhatikan dengan apa ia munajatkan. Janganlah sebahagian kamu mengeraskan suara ke atas sebahagian yang lain tatkala membaca al-Quran” (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abu Hurairah dan ‘Aisyah). Dari ‘Imran bin Hushain r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. telah menunaikan solat zohor –atau asar- bersama kami. (Lalu seorang lelaki membaca di belakang baginda surah “سبح اسم ربك الأعلى” dengan suara yang kuat). Maka (apabila selesai solat) Rasulullah bertanya; ‘Siapakah yang membaca di belakangku surah “سبح اسم ربك الأعلى”? Lelaki itu menjawab; Saya ya Rasulullah! Namun saya tidak bermaksud melainkan dengan tujuan yang baik. Lalu Rasulullah s.a.w. berkata; “Sesungguhnya aku mendapati sebahagian dari kamu telah menyanggahiku dengan bacaannya (yakni mengganggu bacaanku dengan bacaannya yang kuat)” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun jika solat yang dikerjakan berjamaah itu adalah solat jahriyyah, maka tidak disunatkan makmum membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah. Ia hendaklah mendengar bacaan imam sahaja sebagaimana sabda Nabi; “Sesungguhnya dilantik imam itu adalah untuk diikuti. Maka apabila ia bertakbir, maka hendaklah kamu turut bertakbir dan apabila ia membaca (al-Quran) hendaklah kamu senyap (dan mendengarnya)” (riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Namun dikecualikan jika makmum berada jauh dari imam dan tidak dapat mendengar bacaannya, maka ketika itu disunatkan ia membaca sendiri ayat atau surah.

Apa maksud solat jahriyyah dan solat sirriyyah? Apa kaedah dari Syarak untuk menentukan antara keduanya?

Solat jahriyyah bermaksud solat-solat yang mana bacaan al-Quran (yakni al-Fatihah dan ayat atau surah selepasnya) di dalamnya sunat diperdengarkan. Solat Sirriyyah pula ialah solat-solat yang mana bacaan al-Quran di dalamnya sunat diperlahankan atau disembunyikan. Dalam sebuah hadis, Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Dalam setiap solat ada bacaan. Maka apa yang diperdengarkan kepada kami oleh Nabi s.a.w., maka kami perdengarkan kepada kamu dan apa yang disembunyikannya dari kami, maka kami sembunyikannya dari kamu” (Riwayat Imam Muslim). Hadis di atas menunjukkan bahawa terdapat solat di mana Rasulullah memperdengarkan bacaannya (yakni membaca surah al-Fatihah dan ayat/surah selepasnya dengan suara kuat) dan ada solat di mana baginda menyembunyi (yakni memperlahankan) bacaannya.

Bagi solat-solat fardhu, kaedah menentukan antara keduanya adalah seperti berikut;

  1. Bagi solat subuh dan solat jumaat, sunat menguat atau memperdengarkan bacaan pada kedua-dua rakaatnya.
  2. Bagi solat maghrib dan isyak, sunat menguat atau memperdengarkan bacaan pada dua rakaat yang awal sahaja. Adapun rakaat ketika atau keempat, hendaklah disembunyikan bacaan.
  3. Bagi solat zohor dan asar, disunatkan menyembunyikan bacaan pada keseluruhan rakaatnya.

Bagi solat sunat pula; kaedahnya ialah;

  1. Bagi solat hari-raya dan istisqa’ disunatkan memperdengarkan bacaan.
  2. Solat-solat sunat siang (نوافل النهار) disunatkan menyembunyikan bacaan.
  3. Solat-solat sunat malam (نوافل الليل); ada dua pandangan; (pertama) disunatkan memperdengarkan bacaan, (kedua) dibaca secara sederhana antara memperdengar dan menyembunyikannya. Pandangan yang rajih ialah yang kedua.
  4. Solat kusuf (gerhana matahari/bulan); jika berlaku gerhana di siang hari, maka disunatkan menyembunyikan bacaan dan jika gerhana pada malam hari, disunatkan memperdengarkan bacaan.

Bagi solat qadha’, jika solat yang tertinggal adalah solat malam (iaitu maghrib, isya’ dan subuh), sekiranya diqadha’ pada malam yang lain, maka sunat diperdengarkan bacaan. Jika diqadha’ pada waktu siang, sunat disembunyikan bacaan. Jika yang tertinggal adalah solat siang (yakni zohor dan asar) dan diqadha pada siang hari, maka sunat disembunyikan bacaan. Adapun jika diqadha pada malam hari, maka sunat diperdengarkan bacaan. Kesimpulannya, yang dijadikan perkiraan ialah bila solat qadha itu ditunaikan; di waktu siang atau di waktu malam.

Adapun solat jenazah, sunat disembunyikan bacaan sama ada dikerjakan pada waktu siang atau malam. Oleh kerana, memperdengar atau menyembunyikan bacaan dalam masalah-masalah di atas hukumnya sunat sahaja, maka jika dicanggahi tidaklah membawa kepada batalnya solat, malah tidak membawa kepada perlunya sujud sahwi.

SOLAT – MEMBACA DOA IFTITAH


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Doa Iftitah ialah doa yang dibaca sebagai pembuka solat iaitu sebaik saja selesai takbiratul-Ihram dan sebelum membaca al-Fatihah. Abu Hurairah r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila telah bertakbir memasuki solat (yakni takbiratul-ihram), baginda senyap seketika sebelum mula membaca (al-Fatihah). Lalu aku bertanya baginda; ‘Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku melihat engkau senyap di antara takbir dan bacaan (al-Fatihah). Apa yang engkau ucapkan?’. Baginda menjawab; ‘Aku membaca;

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ، اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ خَطَايَايَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ، اللَّهُمَّ اغْسِلْنِي مِنْ خَطَايَايَ بِالثَّلْجِ وَالْمَاءِ وَالْبَرَدِ

Ya Allah! Jauhkanlah aku dari dosa-dosaku sebagaimana Engkau menjauhkan Timur dan Barat. Ya Allah! Bersihkanlah daku dari dosa-dosaku sebagaimana dibersihkan pakaian putih dari kotoran. Ya Allah! Sucikanlah daku dari dosa-dosaku dengan salji, air dan embun”. (Riwayat Imam Muslim).

Hukum membaca doa Iftitah adalah sunat. Kita boleh memilih mana-mana satu doa Iftitah yang pernah dibaca atau diajar oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- di dalam hadisnya-. Doa Iftitah ini hendaklah dibaca perlahan (tidak dikuatkan suara).

(Di antara bacaan doa iftitah yang lainnya, sila rujuk di https://irfanirsyad.wordpress.com/2011/04/28/doa-iftitah/)

TAKBIRATUL IHRAM


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://fiqh-am.blogspot.com)

Apa hukum memulakan solat dengan bertakbir? Kenapakah takbir di awal solat dinamakan Takbiratul-Ihram?

Hukumnya adalah wajib kerana Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka sempurnakanlah wudhuk, kemudian mengadaplah ke arah qiblat. Setelah itu, ucapkanlah takbir…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-).

Ia dinamakan Takbiratul-Ihram kerana (takbir yang mengharamkan) kerana ia mengharamkan semua perbuatan yang lain daripada perbuatan-perbuatan yang mesti dilakukan didalam solat, iaitu; apabila mula melafazkan ucapan takbir ini, tidak harus bagi kita untuk melakukan perbuatan-perbuatan diluar solat seperti makan, minum dan sebagainya. Sabda Nabi; “Pembuka solat ialah bersuci, yang mengharamkan segala perbuatan yang lain (selain perbuatan solat) ialah takbir dan yang menghalalkannya semula ialah memberi salam”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah dari ‘Ali bin Abi Thalib r.a.).

Apa hukum mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram? Bagaimana caranya yang sempurna yang dilakukan oleh Nabi?

Mengangkat tangan ketika Takbiratul-Ihram adalah sunat. Caranya ialah; kedua-dua tangan diangkat hingga setentang dengan dua telinga atau setentang dengan dua bahu, yakni boleh memilih mana satu dari dua cara ini kerana kedua-duanya ada dilakukan oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

Cara pertama; hadis dari Malik bin al-Huwairith –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama tadi”. (Riwayat Imam Muslim)

Cara kedua; berdasarkan hadis Abdullah bin ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Aku melihat Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila memulakan solat, baginda mengangkat dua tangannya hingga setentang dengan dua bahunya, begitu juga sebelum baginda ruku’ dan apabila baginda bangkit dari Ruku’. Namun baginda tidak mengangkat kedua tangannya antara dua sujud”. (Riwayat Imam Muslim)

Semasa mengangkat tangan itu, tapak tangan hendak di buka atau didedahkan dan dihalakan ke arah kiblat. Jari-jari tangan pula, menurut Imam Syafi’ie hendaklah diluruskan dengan direnggangkan secara sederhana antara satu sama lain (yakni tidak dirapatkan). Menurut ulamak-ulamak yang lain (antaranya Imam Ahmad), jari-jari tangan hendaklah dirapatkan (yakni tidak direnggangkan).[1] Imam Syafi’ie berdalilkan hadis dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- membuka jari-jarinya semasa takbir”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan al-Hakim dari Abu Hurairah)

Imam Ahmad pula berdalilkan hadis dari Abu Hurairah juga yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- semasa memasuki solat (yakni memulakan solat) baginda mengangkat dua tangannya dengan meluruskannya (tanpa merenggangkannya)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi). Menurut Imam at-Tirmizi; riwayat yang kedua ini lah yang soheh. Adapun riwayat pertama di atas berlaku kesalahan dalam riwayat (oleh seorang perawi bernama Yahya bin al-Yaman). Kerana itu, menurut Imam Ibnu Qudamah; pandangan yang tepat dalam masalah ini ialah pandangan kedua (iaitu pandangan Imam Ahmad).[2]

Selain dari ketika Takbiratul-Ihram, bilakah lagi kita disunatkan mengangkat tangan?

Ada tiga tempat lagi iaitu;
1. Ketika hendak ruku’
2. Ketika bangun dari ruku’
3. Ketika bangun dari Tahiyat Awal ke rakaat ke tiga.

Malik bin al-Huwairith r.a. menceritakan; “Bahawa Rasulullah s.a.w. apabila baginda bertakbir, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Dan apabila baginda ruku’, baginda mengangkat dua tangan hingga setentang dengan dua telinganya. Apabila mengangkat kepalanya dari ruku’, baginda membaca; “سمع الله لمن حمده” dengan melakukan seumpama itu” (Riwayat Imam Muslim).

Ibnu ‘Umar–radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Adalah Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila beliau bangun selepas (selesai) dua rakaat, beliau akan bertakbir dan mengangkat dua tangannya” (Riwayat Imam Abu Daud).

Bila masanya tangan hendak diangkat; sebelum takbir atau selepas takbir atau serentak dengan takbir?

Ada tiga cara yang ketiga-tiganya disebut oleh hadis;

Pertama; mengangkat tangan serentak dengan takbir. Ini berdasarkan hadis dari Nafi’ (seorang Tabi’in) yang menceritakan; Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- (seorang sahabat Nabi) apabila memasuki solat (yakni memulakannya), beliau bertakbir sambil mengangkat dua tangannya…Beliau (yakni Ibnu ‘Umar) merujuk hal tersebut kepada Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Kedua; mengangkat tangan terlebih dahulu, kemudian bertakbir. Ini berdasarkan hadis Ibnu ‘Umar –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- apabila telah berdiri untuk solat, beliau mengangkat dua tangannya setentang dua bahunya, kemudian beliau bertakbir…”. (Riwayat Imam Muslim)

Ketiga; bertakbir terlebih dahulu, kemudian mengangkat tangan. Ini berdasarkan hadis dari Abi Qilabah yang menceritakan bahawa ia telah melihat Malik bin al-Huwairith (seorang sahabat Nabi) –radhiyallahu ‘anhu- tatkala beliau mengerjakan solat, ia mengucapkan takbir, kemudian baru mengangkat kedua tangannya. Malik memberitahu bahawa Rasulullah melakukan sedemikian”. (Riwayat Imam Muslim)

Jika kita mengerjakan solat berjamaah, bila masanya kita perlu bertakbir; selepas imam atau bersama-sama dengan imam?

Makmum hendaklah bertakbir selepas imamnya selesai bertakbir. Tidak harus ia bertakbir mendahului imamnya atau bertakbir serentak dengan imamnya. Ini kerana Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Sesungguhnya imam itu adalah untuk diikuti. Apabila ia bertakbir, barulah kamu turut bertakbir. Apabila ia sujud, barulah kamu turut sujud…”. (Riwayat Imam Muslim dari Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu-)

Apa kelebihan Takbir Pertama (at-Takbiratul-Ula)? Apa maksudnya?

Kelebihan Takbir Pertama disebut oleh Rasulullah – sallallahu ‘alahi wasallam- dalam sabdanya; “Sesiapa menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari berjamaah dengan memperolehi takbir pertama, akan ditulis untuknya dua pembebasan; pembebasan dari neraka dan pembebasan dari nifaq”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Anas –radhiyallahu ‘anhu-)

Menurut Imam Nawawi; maksud takbir pertama ialah seseorang itu bertakbir sebaik sahaja imamnya selesai bertakbir, yakni ia mengikut imam bermula dari takbiratul-ihram lagi. Ada pandangan berkata; fadhilat takbir pertama itu diperolehi selagi seseorang itu sempat berdiri bersama imam (sebelum imam rukuk). Pandangan lain lagi menyebutkan; kelebihan takbir pertama itu masih dapat diperolehi oleh makmum jika ia mendapat awal ruku’ bersama imam (pada rakaat pertama).[3]

Di mana tangan hendak diletakkan selepas takbiratul-ihram? Bagaimana caranya?

Tangan hendaklah di letakkan di bahagian atas dari pusat iaitu di atas dada atau di bawah sedikit dari dada (menurut Imam Syafi’ie) dengan kedudukan tangan kanan di atas tangan kiri. Ini berdalilkan hadis dari Wail bin Hujrin –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Saya menunaikan solat bersama Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- di mana baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dada”. (Riwayat Imam Ibnu Khuzaimah).

Jari-jari tangan kanan hendaklah memegang belakang tangan kiri. Ini berdasarkan dari Qubaishah bin Hulb dari bapanya –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah mengimami kami di mana baginda memegang tangan kirinya dengan tangan kanannya”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini adalah hasan).

Ada juga ulamak yang berpandangan; tangan hendaklah diletakkan di bawah pusat. Antara mereka ialah Imam an-Nakha’ie, as-Sauri dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya). Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali yang berkata; “Di antara sunnah di dalam solat ialah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bawah pusat”. (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud). Namun menurut ulamak hadis; hadis ini adalah dhaif, tidak harus dijadikan hujjah.

Ke mana kita perlu letakkan pandangan mata kita ketika solat?

Mata hendaklah melihat ke tempat sujud.

[1] Al-Mughni, 1/333.
[2] Al-Mughni, 1/333.
[3] Mugni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 317-318.

%d bloggers like this: