PENGERTIAN MURTAD


irfanirsyad2

Soalan:
Apakah maksud riddah atau murtad?

Jawapan
:
Dalam menjawab persoalan ini, kedua-dua perkataan ini daripada bahasa Arab. Di mana riddah lebih menunjukkan kepada masdar sedangkan murtad kepada isim fa’il. Secara terperinci saya nyatakan seperti berikut:

Dibahagikan definisi ini kepada dua bahagian iaitu dari segi bahasa dan istilah.

 Dari segi bahasa
Murtad atau riddah dalam bahasa Arab merupakan isim masdar daripada perkataan اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain.

Ibn Faris dalam kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah (2/386) berkata: “Asal perkataan ini ra dan dal iaitu memberi maksud kambali pada sesuatu dan dinamakan murtad kerana seseorang itu kembalikan jiwanya kepada kufur. Atas asas inilah murtad nama bagi yang kembali pada kufur.”

 Dari segi istilah
Menurut istilah undang-undang Islam pula, murtad ialah beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain. Perkataan murtad merupakan isim fa’il kepada pelaku murtad. Walaupun begitu, penulis tidaklah membezakan sangat antara pengertian murtad dan riddah.

Penulis mengemukakan pendapat ulama berkenaan dengan pengertian murtad:

Mazhab Hanafi: “Murtad ialah ibarat daripada kembali daripada iman kepada kufur.” Lihat Bada’i al-Sana’i dan Hasyiah Ibn Abidin (4/221).
Mazhab Maliki: “Iaitu orang Islam yang kufur dengan nyata sama ada dengan perkataan atau perbuatan yang mengandungi kekufuran.” Lihat Minah al-Jalil (4/461).
Mazhab Syafie: “Iaitu memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya.” Lihat Mughni al-Muhtaj (4/134).
Mazhab Hanbali: “Siapa yang kufur dengan sukarela walaupun sudah mumayyiz selepas Islamnya dengan perkataan, iktikad, ragu dan syak tentang Islam walaupun secara bergurau dan walaupu keIslamannya dipaksa dengan cara sebenar.” Lihat al-Raud al-Nadi Syarh Kafi al-Mubtadi (hal. 479).

Meneliti pendapat fuqaha melalui definisi masing-masing, penulis dapat membuat beberapa noktah persamaan antara mereka iaitu:
 Keluar daripada Islam.
Sama ada perisytiharan dengan ucapan, perbuatan atau niat.
Keluar tersebut sama ada secara bergurau, ingkar atau iktikad.

Akhirnya, penulis mengemukakan takrif secara keseluruhan seperti yang dinukilkan daripada kitab Uqubah al-I’dam (hal. 349) menyebut: Murtad ialah seseorang Islam secara pilihan dengan Islamnya telah memutuskan untuk keluar sama ada dengan ucapan, perbuatan atau iktikad atau meragui apa yang telah dimaklumi dalam agama secara darurat.

Semoga Allah memelihara kita daripada terjerumus ke lembah kemurtadan yang akhirnya kita berada dalam keadaan keredhaan Allah dengan ilmu dan juga keyakinan yang terwujud pada diri kita.

Akhukum Fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

KELEBIHAN AHLI BAYT NABI SAW DENGAN BAHTERA NUH


SUMBER: http://muftiwp.gov.my

IRFANIRSYAD

Soalan:

Apakah status bagi hadis-hadis berikut:

  • Dari Zaid bin ArqamRA, telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku tinggalkan untuk kalian dua pusaka yang berat iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Ahl al-Baytku (keluargaku). Jika kalian berpegang teguh dengannya maka tidak akan pernah tersesat selama-lamanya. Sungguh keduanya tidak akan pernah saling berpisah hingga kelak akan berjumpa denganku di telaga Al-Haudh”.
  • Aku mendengar sendiri Abu Dzar RA di pintu Kaabah, “Wahai sekalian umat manusia, barangsiapa yang mengenali aku, sungguh aku adalah orang yang kalian kenal dan barangsiapa yang mengingkari aku, ingatlah aku adalah Abu Dzar. Aku telah mendengar Baginda Nabi SAW bersabda: Perumpamaan Ahl al-Baytku seumpama bahtera Nabi Nuh AS. Barangsiapa yang menaikinya, dia akan selamat dan barangsiapa meninggalkannya ia akan tenggelam.”

 

Jawapan:

  • Bagi hadis yang pertama, lafaz asal hadis adalah seperti berikut:

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ الْمُنْذِرِ، – كُوفِيٌّ – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْلٍ، قَالَ حَدَّثَنَا الأَعْمَشُ، عَنْ عَطِيَّةَ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، وَالأَعْمَشُ، عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِي ثَابِتٍ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالاَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ إِنِّي تَارِكٌ فِيكُمْ مَا إِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِ لَنْ تَضِلُّوا بَعْدِي أَحَدُهُمَا أَعْظَمُ مِنَ الآخَرِ كِتَابُ اللَّهِ حَبْلٌ مَمْدُودٌ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الأَرْضِ وَعِتْرَتِي أَهْلُ بَيْتِي وَلَنْ يَتَفَرَّقَا حَتَّى يَرِدَا عَلَىَّ الْحَوْضَ فَانْظُرُوا كَيْفَ تَخْلُفُونِي فِيهِمَا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ ‏.‏

hadis ini telah diriwayatkan oleh:

  • Al-Imam al-Tirmizi di dalam Sunannya (3786) dan (3788) di bawah Kitab al-Manaqib.
  • Al-Imam al-Nasa’ie di dalam Sunan al-Kubra (8148) dan (8464).
  • Al-Hakim di dalam Mustadraknya (4711) seraya berkata: hadis ini sahih sanadnya mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.
  • Dikeluarkan juga oleh al-Imam al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (2678), (2679), (2680), (4980). Di dalam Mu’jam al-Awsat (5536).

5248960544_704e9c8d5f_b

Komentar terhadap hadis:

Syeikh Nasiruddin al-Albani Rahimahullah menghukumkan hadis ini Sahih di dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah (1750) setelah menilainya dengan jalan-jalan sanad yang lain. Wallahu a’lam.

 

  • Bagi hadis yang kedua, lafaz asalnya adalah seperti berikut:

سَمِعْتُ أَبَا ذَرٍّ، يَقُولُ: وَهُوَ آخِذٌ بِبَابِ الْكَعْبَةِ: أَيُّهَا النَّاسُ، مَنْ عَرَفَنِي فَأَنَا مَنْ عَرَفْتُمْ، وَمَنْ أَنْكَرَنِي فَأَنَا أَبُو ذَرٍّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَثَلُ أَهْلِ بَيْتِي مَثَلُ سَفِينَةِ نُوحٍ مَنْ رَكِبَهَا نَجَا، وَمَنْ تَخَلَّفَ عَنْهَا غَرِقَ

hadis ini telah diriwayatkan oleh:

  • Al-Hakim di dalam al-Mustadrak (3312) & (4720). Al-Zahabi di dalam Talkhis mengatakan bahawa salah seorang perawi bagi hadis ini Mufaddhal bin Soleh lemah.
  • Al-Imam al-Bazzar di dalam Musnadnya (5142) dan berkata bahawa hadis ini tidak kami ketahui seorangpun yang meriwayatkannya melainkan Al-Hasan bin Abi Ja’far dan Al-Hasan bukanlah seorang yang kuat (di dalam ilmu hadis) dan kebanyakan ahli ilmu memperkatakan tentangnya.
  • Al-Imam al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (2636), (2638) & (12388). Di dalam Mu’jam al-Awsat (5536) & (5870).

 

Komentar terhadap hadis:

Syeikh Nasiruddin al-Albani Rahimahullah di dalam Silsilah al-Ahadis al-Dho’ifah wa al-Maudhu’ah (4503) menghukumkan hadis ini sebagai Dhoif (lemah). hadis ini, selain diriwayatkan oleh Abi Dzar al-Ghifari RA terdapat juga syawahid yang lain diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubayr, Abi Sa’id al-Khudri dan Anas bin Malik R.Anhum. Meskipun terdapat jalan periwayatan yang lain, namun kesemua jalan tersebut tidak terlepas daripada kritikan yang mana kesemuanya tersangatlah lemah dan tidak mampu untuk menguatkan antara satu sama lain. Wallahu a’lam.

HIKMAH LARANGAN PERSETUBUHAN KETIKA HAID


SUMBER: halaqah.net

IRFANIRSYAD

Soalan: 
Apakah hikmah diharamkan bersetubuh dengan isteri yang dalam haid?

Jawapan:

Antara hikmah pengharamannya ialah, ia boleh mengakibatkan penyakit kepada suami dan juga isteri. Banyak kajian saintifik yang dilakukan, membuktikan larangan Islam ini ada kewajarannya.

Wanita dalam haid sebenarnya mengalami perubahan hormon dalam badannya. Saluran darah di rahim dan faraj akan mengembang. Oleh kerana saluran darah adalah amat lembut, ia mudah pecah apabila berlaku kemasukan zakar pada faraj dan pangkal rahim.

Teori perubatan memperakui bahawa darah haid ada unsur-unsur penyakit. Dr. Muhammad Ali al-Bar dalam bukunya Daurah al-Arham (Fungsi Rahim) di bawah tajuk Haid Sebagai Penyakit menyatakan : “Keseluruhan dinding penutup rahim terpercik sepanjang tempoh haid. Setelah meneliti darah haid melalui kanta, kita dapat melihat pad titisan darah merah dan putih, terdapat kepingan dinding penutup rahim dan rahim menjadi luka bagaikan kulit yang mengelupas.”

nyeri-haid-berlebihan-web-300x300
Menurutnya lagi, “Oleh itu, rahim terdedah kepada serangan bakteria. Darah merupakan medium yang paling mudah untuk bakteria membiak. Semasa haid keluar, daya ketahanan rahim menjadi lemah untuk menghadapi serangan bakteria. Bakteria yang terdapat pada permukaan zakar boleh menyebabkan bahaya besar kepada rahim. Ia bertambah bahaya lagi apabila daya ketahanan rahim untuk melawan bakteria sangat lemah ketika haid kerana sangat sedikit proses pengasingan saluran fallopio berasid yang membunuh bakteria.”

Persetubuhan semasa haid juga boleh menyebabkan radang rahim dan radang saluran fallopio yang membawa kepada kesakitan sepanjang hayat dan sukar diubati malah merebak kepada penyakit lain seperti :

  • Radang yang berlanjutan kepada dua ovari pada rahim.
  • Radang yang berlanjutan ke saluran kencing.
  • Rasa kesakitan yang sangat kuat ketika haid.
  • Daya ketahanan yang berkurang.
  • Keinginan seks yang semakin berkurang dan cenderung untuk bersendirian.
  • Penyakit berjangkit kepada pasangan lelaki khususnya kebengkakan yang memberi risiko kepada organ kencing.
  • Kepeningan atau migrain.

(Surah al-Baqarah: 222)
Benarlah firman Allah SWT,

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّـهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ ﴿٢٢٢

Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Walaupun ia adalah kotor, namun Islam tidaklah menyuruh supaya menyisihkan isteri ketika haid sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Yahudi. Mereka tidak mahu makan bersama, tidur bersama, malah tidak mahu isteri tinggal bersama ketika dalam haid. Nabi SAW sendiri pernah makan dan tidur bersama dengan isterinya ketika isterinya dalam haid. Ini menzahirkan bagaimana Islam memuliakan wanita walaupun dalam keadaan haid. Wallahua’lam.

Akhukum Fillah
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

HADITH-HADITH BERKAITAN NABI MUHAMMAD SAW


IRFANIRSYAD

Soalan:
Apakah status bagi hadith-hadith berikut? Kerana setiap kali berlakunya maulid Nabi SAW, hadith ini disebar serta dibacakan kepada orang awam. Hadithnya (maksudnya) ialah:

  • Barangsiapa yang mengagungkan maulidku nescaya akulah pemberi syafaatnya pada hari kiamat.
  • Barangsiapa yang membelanjakan satu dirham pada hari maulidku, maka seolah-olah dia telah membelanjakan segunung emas pada jalan Allah.

Jawapan:
Bagi hadith yang pertama, lafaznya adalah seperti berikut:
مَنْ عَظَّمَ مَولِدِي كُنْتُ شَفِيعًا لَهُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Manakala hadith yang kedua lafaznya adalah seperti berikut:
مَنْ أنفَقَ دِرْهَمًا فِي مَوْلِدِي فَكَأَنَّمَا أنفَقَ جَبَلًا مِن ذَهَبِ فِي سَبِيلِ الله
Kedua-dua hadith ini pernah dijawab oleh mantan mufti Negeri Johor al-Syeikh Syed Alwi bin Tahir al-Haddad Rahimahullah dan telah dimuatkan di dalam buku Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor  yang mana jawapan yang diberikan oleh beliau:
Hadis-hadis yang tuan sebutkan di atas itu adalah Hadis Maudhu’ (dusta) tidak benar dan tidak ada asalnya.

Umat Nabi Muhammad s.a.w. disuruh membesarkan Rasulullah s.a.w. dan memuliakannya menurut ayat-ayat Quran ada tersebut di dalam surah al-Fath.
Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Jibrin apabila ditanyakan tentang status hadith:
مَنْ عَظَّمَ مَولِدِي كُنْتُ شَفِيعًا لَهُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Jawab fadhilah al-Syeikh: “Hadith ini tidak sahih. Tidak diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadith yang sahih, tidak juga di dalam kitab-kitab sunan dan ianya adalah satu penipuan…”

Maka, kami nyatakan di sini bahawa hadith ini adalah palsu dan tidak sabit dari Nabi SAW. Mereka yang menyebar dan membacakan hadith ini dengan sengaja perlulah bertaubat kerana haram dan berdosa besar bagi sesiapa yang menipu di atas nama Nabi SAW.

Semoga pencerahan ini dapat memberi kefahaman kepada kita seterusnya lebih berhati-hati dalam menukilkan sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW. Wallahu a’lam.

Sumber : halaqah.net

%d bloggers like this: