PENGERTIAN MURTAD


irfanirsyad2

Soalan:
Apakah maksud riddah atau murtad?

Jawapan
:
Dalam menjawab persoalan ini, kedua-dua perkataan ini daripada bahasa Arab. Di mana riddah lebih menunjukkan kepada masdar sedangkan murtad kepada isim fa’il. Secara terperinci saya nyatakan seperti berikut:

Dibahagikan definisi ini kepada dua bahagian iaitu dari segi bahasa dan istilah.

 Dari segi bahasa
Murtad atau riddah dalam bahasa Arab merupakan isim masdar daripada perkataan اِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain.

Ibn Faris dalam kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah (2/386) berkata: “Asal perkataan ini ra dan dal iaitu memberi maksud kambali pada sesuatu dan dinamakan murtad kerana seseorang itu kembalikan jiwanya kepada kufur. Atas asas inilah murtad nama bagi yang kembali pada kufur.”

 Dari segi istilah
Menurut istilah undang-undang Islam pula, murtad ialah beralih daripada memeluk Islam kepada memeluk agama lain atau anutan lain. Perkataan murtad merupakan isim fa’il kepada pelaku murtad. Walaupun begitu, penulis tidaklah membezakan sangat antara pengertian murtad dan riddah.

Penulis mengemukakan pendapat ulama berkenaan dengan pengertian murtad:

Mazhab Hanafi: “Murtad ialah ibarat daripada kembali daripada iman kepada kufur.” Lihat Bada’i al-Sana’i dan Hasyiah Ibn Abidin (4/221).
Mazhab Maliki: “Iaitu orang Islam yang kufur dengan nyata sama ada dengan perkataan atau perbuatan yang mengandungi kekufuran.” Lihat Minah al-Jalil (4/461).
Mazhab Syafie: “Iaitu memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya.” Lihat Mughni al-Muhtaj (4/134).
Mazhab Hanbali: “Siapa yang kufur dengan sukarela walaupun sudah mumayyiz selepas Islamnya dengan perkataan, iktikad, ragu dan syak tentang Islam walaupun secara bergurau dan walaupu keIslamannya dipaksa dengan cara sebenar.” Lihat al-Raud al-Nadi Syarh Kafi al-Mubtadi (hal. 479).

Meneliti pendapat fuqaha melalui definisi masing-masing, penulis dapat membuat beberapa noktah persamaan antara mereka iaitu:
 Keluar daripada Islam.
Sama ada perisytiharan dengan ucapan, perbuatan atau niat.
Keluar tersebut sama ada secara bergurau, ingkar atau iktikad.

Akhirnya, penulis mengemukakan takrif secara keseluruhan seperti yang dinukilkan daripada kitab Uqubah al-I’dam (hal. 349) menyebut: Murtad ialah seseorang Islam secara pilihan dengan Islamnya telah memutuskan untuk keluar sama ada dengan ucapan, perbuatan atau iktikad atau meragui apa yang telah dimaklumi dalam agama secara darurat.

Semoga Allah memelihara kita daripada terjerumus ke lembah kemurtadan yang akhirnya kita berada dalam keadaan keredhaan Allah dengan ilmu dan juga keyakinan yang terwujud pada diri kita.

Akhukum Fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

MURTAD SATU PERMAINAN


Murtad itu satu permainan? Isu murtad di kalangan Melayu Islam.

Allah SWY berfirman;

وَمَن يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَـٰئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۖ وَأُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ﴿٢١٧﴾

Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli Neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

Punca murtad hanyalah satu iaitu kurangnya pemahaman melayu itu sendiri terhadap Islam yang dianutinya. Bagaimana seorang melayu Islam yang sudah diajar tentang aqidah keperibadian Islam sejak dari kecil lagi boleh terpesong daripada landasan sebenar Islam itu sendiri.
Jika difikirkan secara logik, kemungkinan untuk seseorang Islam yang sudah mengenal ajaran Islam dari kecil lagi boleh terpengaruh dengan dakyah daripada luar teramatlah kecil. Jika seseorang itu memahami maksud sebenar Islam itu sendiri, tidak mungkin adanya perasaan ingin murtad di dalam diri.

Kes popular yang melihatkan betapa lemahnya Islam dalam diri seseorang itu ialah contohnya kes Azlina Jailani ataupun yang lebih dikenali dengan nama Lina Joy yang menukar agamanya daripada Islam ke agama Kristian. Walau sudah 26 tahun bergelar muslim, dia masih tidak dapat memahami dasar sebenar Islam itu sendiri.

Jika difikirkan , Islam dan Kristian adalah agama yang turun daripada Allah kepada umatnya. Tetapi, sikap rakus manusia yang inginkan perubahan telah mengubah kandungan di dalam Injil sehingga menghasilkan satu versi agama yang baru yang jauh daripada konsep ketuhanan yang betul.

Lagi cerita murtad di facebook, sudah ramai individu yang mengutuk tentang kebenaran Islam apabila ditimpa kecelakaan. Cuba cermin diri korang, adakah amalan korang terhadap Yang Maha Esa itu sudah mencapai satu tahap yang extreme.

Gejala Murtad di Facebook

Jika ya, tidak mungkin korang akan mengeluh jika ditimpa musibah, kerana rezeki itu datang daripada Allah, malang itu juga datang daripada Allah. Kenapa harus dipersalahkan Allah bila ditimpa musibah sedangkan ketika nikmat diberi, korang bersyukur dan mengagungkan-agungkanNya. Konsep bersyukur ketika diberi rezeki samalah juga bersyukur ketika ditimpa musibah kerana dengan musibah itulah, kita dapat mengubah diri kita menjadi lebih baik.

Memetik daripada satu kisah benar, bagaimana tabahnya seorang mualaf yang baru memeluk Islam dapat bertahan dengan cacian,pulauan keluarga sendiri apabila memeluk agama Islam. Bagaimana dia mampu bertahan sehingga boleh diterima oleh keluarganya? Sedangkan kita yang beragama Islam dari kecil lagi ini tidak mampu bertahan untuk seketika apabila ditimpa musibah.

Jawapannya ialah kerana iman. Seperti lagu raihan, Iman Mutiara. Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai. Walau kita bergelar Islam, lahir daripada keluarga yang beragama, tidak menjamin kita akan mendapat satu iman yang mantap.

Murtad bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main-main. Islam melarang keras umatnya mempersendakan dan mempermainkan agama itu sendiri. Apatah lagi membuang agama dari kehidupan. Bekalkan diri iman yang secukupnya, kerana tidak mungkin satu hari nanti, kita juga akan turut gugur dari madah perjuangan sebenar.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN DUA KALIMAH SYAHADAH


Sumber : Abu Nur al-Dununiy

FASAL PERTAMA: PENGENALAN

Barangsiapa yang berlaku kepadanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, maka dia telah murtad iaitu keluar dari agama Islam atau putus dari ikatan agama Islam. Murtad termasuk dosa kufur yang merupakan dosa paling besar di sisi Allah taala dan tidak ada lagi dosa yang lebih besar dari dosa kufur.

Bagi menyelesaikan masalah murtad tidak dapat tidak kita mesti mengetahui hukum-hukum yang berkaitan dengan murtad. Oleh itu, seseorang yang mukallaf itu wajib mempelajari perkara yang boleh membatalkan Dua Kalimah Syahadah supaya dia tidak terjerumus ke dalam kancah murtad dan supaya dapat mengislamkan kembali mereka yang telah murtad. Ini kerana orang yang tidak mengetahui sesuatu kemudaratan tidak dapat menyelamatkan dirinya dan orang lain dari kemudaratan tersebut.

FASAL KEDUA: SEBAB-SEBAB MURTAD

Tiga perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad seperti yang telah diterangkan oleh para ulama di kalangan empat mazhab, iaitu: kufur i’tiqadiyy, kufur fi’liyy, kufur qawliyy.

Kufur I’tiqadiyy

Kufur i’tiqadiyy ialah kekufuran dengan sebab niat, pegangan, kepercayaan atau keyakinan dalam hati. Antara contoh kufur i’tiqadiyy ialah:

  1. Ragu-ragu atau syak terhadap Allah dan rasul-Nya atau al-Quran atau hari Akhirat atau syurga atau neraka atau ganjaran-Nya atau balasan-Nya atau hukum-Nya atau syiar-Nya atau perkara yang telah diijmakkan (disepakati) oleh para ulama mujtahidin.
  2. Kepercayaan bahawa alam ini azali pada jisim dan unsurnya atau unsurnya sahaja.
  3. Menafikan salah satu sifat dari sifat-sifat Allah yang telah diijmakkan seperti sifat Maha Mengetahui segalanya.
  4. Mensifatkan Allah dengan suatu sifat yang tidak layak bagi-Nya seperti mensifatkan-Nya mempunyai jasad, bertempat, berakal dan seumpamanya.
  5. Menghalalkan perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai halal dengan ijmak seperti zina, liwat, membunuh, mencuri, merompak, menyamun, arak, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan seumpamanya.
  6. Mengharamkan perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai halal dengan ijmak seperti berjual beli, nikah dan seumpamanya.
  7. Menafikan kefarduan pada perkara yang diketahui di kalangan umat Islam sebagai wajib atau fardu hukumnya dengan ijmak seperti solat fardu atau salah satu daripada rukun-rukun solat (seperti sujud), zakat, puasa, haji, wuduk, menutup aurat dan seumpamanya.
  8. Berniat atau berazam mahu menganut agama bukan Islam pada masa akan datang.

Perhatian: Lintasan hati tidak menyebabkan murtad kerana ia muncul di dalam hati tanpa kehendak seseorang.

Kufur Fi’liyy
Kufur fi’liyy ialah kekufuran dengan sebab perbuatan yang zahir meskipun tanpa niat untuk murtad, atau tanpa pegangan kufur di dalam hati. Antara contoh kufur fi’liyy ialah:

  1. Sujud kepada berhala atau matahari atau bulan atau sesuatu selain Allah yang dianggap sebagai tuhan.
  2. Sujud kepada manusia dengan tujuan menyembahnya.
  3. Perbuatan menghina hukum atau syiar Islam seperti melempar mushaf al-Quran, kitab atau helaian yang mengandungi ayat al-Quran, hadis atau hukum-hukum agama Islam ke tempat yang jijik atau kotor.
  4. Memakai syiar agama bukan Islam dengan tujuan berbangga atau kagum dengan agama bukan Islam tersebut seperti memakai rantai salib dan baju yang ada salib.

Kufur Qawliyy
Kufur qawliyy ialah kekufuran dengan sebab perkataan kufur yang diugkap dengan sengaja meskipun tanpa niat untuk murtad, atau tanpa pegangan kufur di dalam hati. Antara contoh kufur qawliyy ialah:

  1. Memanggil seorang muslim yang lain: “Wahai kafir!” atau “Wahai Yahudi!” atau “Wahai Kristian!” atau “Wahai orang yang tiada agama” dengan maksud agama Islam yang dianut oleh muslim itu sebagai agama yang bersifat kufur, atau sebagai agama Yahudi, atau sebagai agama Kristian, atau sebagai bukan agama. Jika panggilan tersebut dengan maksud untuk menyamakan perbuatan jahat muslim tersebut dengan perbuatan orang kafir, atau orang Yahudi, atau orang Kristian, atau orang yang tiada agama, maka itu bukan suatu kekufuran.
  2. Menghina, memperlekeh, merendah-rendah atau mempersenda-sendakan salah satu daripada sifat-sifat, nama-nama Allah, janji-Nya, ancaman-Nya, kitab-Nya, nabi-nabi-Nya, para malaikat-Nya, hukum-hukum-Nya, syiar-Nya dan seumpamanya.
  3. Menafikan salah satu daripada sifat-sifat wajib bagi Allah dan para nabi-Nya.
  4. Mensifatkan dengan sifat mustahil kepada Allah dan para nabi-Nya.

Perhatian: Lima keadaan perkataan kufur dikecualikan dari dihukumkan sebagai murtad, iaitu;

  1. Keadaan tersasul: iaitu perkataan yang terluncur di lidah tanpa sengaja atau tanpa kehendak.
  2. Keadaan hilang akal atau belum baligh. Namun, wajib ke atas kita menegah atau melarang orang yang hilang akal atau kanak-kanak tersebut dari mengungkapkan perkataan kufur.
  3. Keadaan dipaksa dengan ugutan bunuh atau seumpama bunuh, iaitu dengan syarat; orang yang dipaksa itu masih lagi beriman di dalam hatinya, tidak meredai dan tidak beriktikad dengan perkataan kufur tersebut.
  4. Keadaan menghikayatkan atau menceritakan perkataan kufur sama ada memulakan dengan menyatakan pihak yang berkata dengan perkataan kufur tersebut iaitu sebelum perkataan kufur, contohnya: “Golongan Wahhabi berkata: “Allah duduk di atas Arasy”, atau dengan menyatakan pihak yang berkata tersebut selepas perkataan kufur iaitu dengan berniat terlebih dahulu sebelum bercerita bahawa akan menyatakan pihak yang berkata itu selepas perkataan kufur tersebut, contohnya: “[Berniat bahawa akan menyatakan bahawa puak Wahhabi mengungkapkan perkataan kufur ini] Allah duduk di atas Arasy”. Kata puak Wahhabi”.
  5. Keadaan seseorang yang mentakwil dengan ijtihadnya dalam memahami hukum syarak dalam perkara yang bukan qat’iyy. Contohnya golongan yang enggan membayar zakat pada zaman pemerintahan Sayyidina Abu Bakr dengan takwilan mereka bahawa zakat wajib dibayar pada zaman hayat Nabi Muhammad sallaLlahu ^alayhi wa-sallam kerana doa keampunan baginda buat mereka ketika membayar zakat adalah suatu ketenangan dan penyucian dari dosa buat mereka berdasarkan ayat 103 surah al-Tawbah.

Kaedah: Setiap pegangan, perbuatan atau perkataan yang menunjukkan penghinaan terhadap Allah, kitab-kitab-Nya, para nabi-Nya, para malaikat-Nya, hukum-Nya, syiar-Nya, janji-Nya atau ancaman-Nya adalah suatu kekufuran.

%d bloggers like this: