KELEBIHAN RUKUK DAN SUJUD DALAM SOLAT


SOLAT adalah kewajipan yang perlu ditunaikan sejak Nabi Muhammad s.a.w selepas melalui peristiwa besar yang dinamakan Israk dan Mikraj.

Sebelum itu, umat Islam menunaikan solat sebanyak 50 kali sehari semalam. Akan tetapi, apabila Allah S.W.T memerintahkan Rasulullah s.a.w hanya bersolat lima kali sehari semalam.

Ia adalah berita yang menakjubkan di mana manusia diberikan keringanan begitu banyak. Hampir 10 kali ganda solat dikurangkan semata-mata kerana Allah sangat kasih pada hamba-Nya, yakni Nabi Muhammad S.A.W.

Namun, masih ramai di kalangan masyarakat Islam mengabaikan solat yang adalah kefarduan kepada mereka. Mereka menganggap solat membuang masa dan tidak memberi apa-apa kesan dan manfaat.

Padahal, apa yang mereka lakukan di dunia sebenarnya jauh lebih leka dan terpesong daripada landasan Islam yang sebenar. Solat dipandang enteng dan ramai mengambil langkah mengabaikannya kerana sibuk dengan kehidupan dan kesibukan duniawi.

Allah tidak mensia-siakan apa yang diperintahkan, dan manusia perlulah mengkaji keindahan dan kehebatan Maha Pencipta. Jika tidak, masakan manusia tahu erti bersyukur kerana tidak mencintai Tuhan melebihi dari segala-galanya jika tidak mengetahui kehebatan-Nya.

Ibarat solat selama 5 minit akan merugikan mereka, dan pada waktu itu sahajalah dianggap masa itu emas. Sedangkan terdapat banyak perkara lain lagi yang mengakibatkan masa emas itu tidak bernilai lagi akibat tidak menunaikan solat.

Oleh yang demikian, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan bertindak merungkai persoalan solat berkaitan sains melalui ‘Program Sains Solat: ‘Kebaikan Dari Perspektif Sains’ pada 27 Februari 2011 lalu bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, Selayang, Selangor.

Penyelaras Program, Muhammad Farhan Tee Abdullah, program itu mendapat kerjasama Perkim Cawangan Selayang Baru menjemput pakar penyelidik berkenaan tajuk program berkenaan sebagai pembentang kajian. “Antara pembentang pada program itu ialah Ketua Pakar Penyelidik Sains Solat, Fakulti Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim.

“Begitu pula halnya dengan Saudara Muslim yang kadangkala tidak mengetahui kaifiat solat yang diperoleh. Kadangkala, mereka hanya mengikut apa yang dilihat. Kesannya, dibimbangi apa yang dipraktikkan tersebut adalah bertentangan dan terlibat pula dengan bid’ah,” kata Farhan.

Farhan yang juga selaku Pegawai Dakwah dan Penyelidikan Perkim berkata, perkara ini pastinya menyebabkan Saudara Muslim tidak khusyuk dan kurang konsisten semasa bersolat. Ia dianggap ritual dan adat sahaja, bukannya ibadat. Pandangan sebegini perlu diubah kerana menyembah Tuhan, yakni Allah bukan perkara yang perlu diambil mudah.

“Dia adalah raja kepada segala Raja dan pastinya segala tumpuan perlu dilebihkan agar pengabdian diri menjadi lebih fokus. Di samping itu, hamba-Nya yang beriman akan memperoleh fadhilat solat tanpa disedari. Terdapat banyak kelebihan dari sudut sains jika kajian terhadap pergerakan solat dikaji,” jelas Farhan.

“Tugas yang dilakukan Dr. Fatimah di UM ialah memantau dan mengenalpasti penyakit, pengukuran dan model fisiologi, Sistem Mikro Elektro Mekanikal Biologi (BIOMEMS) dan aplikasi kecerdikan buatan dalam perubatan,” kata Farhan.

Jelasnya lagi, Dr. Fatimah menggunakan kaedah pembentangan multimedia kepada 250 peserta yang terdiri daripada kalangan masyarakat awam Selayang, saudara Muslim, guru-guru sekolah, dan pelajar-pelajar sekolah bagi memudahkan pemahaman berkesan kepada peserta.

Pembentangan kajian pertama iaitu aktiviti interaktif 1 yang bertajuk “Kesan Postur Badan dan Pergerakannya di Dalam Solat”. Dr. Fatimah turut menjelaskan bahawa pergerakan di dalam solat amat mempengaruhi kondusi tubuh badan.

Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu ialah dalam keadaan rehat. Jika dilihat dari sudut ahli fisiologi, posisi tersebut berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Ia mampu melancarkan pergerakan sendi dan mengelakkan penyakit sendi.

Di dalam posisi rukuk, seseorang akan berasa sakit di bahagian belakang peha jika menekan kedua belah lutut dengan meluruskan tangan. Posisi 90 darjah seperti yang disarankan oleh Rasulullah SAW mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang. Lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu sebelum diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud. Kedudukan begini adalah cara terbaik untuk menjadikan otot besar dan kuat.

Secara tidak langsung, ia amat membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan.

Artikel : albakriah.wordpress.com

SOLAT (SUJUD)


Oleh: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil (http://fiqh-am.blogspot.com)

Apa makna sujud? Apa hukumnya?

Sujud bermaksud meletakkan dahi di atas tempat sujud. Sujud adalah wajib di dalam solat. Tidak sah solat tanpa sujud. Sujud yang diwajibkan di dalam solat ialah dua kali pada setiap rakaat dengan diselangi oleh duduk. Dalil kewajipan sujud ini ialah sabda Nabi s.a.w. (tatkala mengajar seorang lelaki yang salah dalam melakukan solat);

….Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan duduk, kemudian kamu sujud kembali sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Apakah anggota-anggota yang terlibat semasa sujud?

Sabda Nabi s.a.w.;

Aku diperintahkan supaya sujud di atas tujuh tulang (yakni tujuh anggota) iaitu; dahi –baginda menunjukkan dengan tangannya ke atas hidungnya-, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua kaki… (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.).

Berdasarkan hadis ini, anggota sujud hendaklah merangkumi;

  1.  Dahi
  2.  Dua tangan
  3.  Dua lutut
  4.  Dua kaki

Ketika sujud, wajib ke semua tujuh anggota di atas diletakkan di atas lantai. Bagi dahi, memadai meletakkan sebahagian dahi sahaja di atas lantai. Bagi tangan yang dikira ialah tapak tangan dan bagi kaki pula ialah perut-perut anak jari kaki. Memadai dengan meletakkan sebahagian sahaja dari perut-perut anak jari kaki itu. Jika seseorang itu sujud di atas belakang tangan atau belakang anak-anak jari kakinya, tidak sah sujudnya.

Adakah hidung juga wajib diletakkan di atas lantai ketika sujud?

Terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; menurut Imam Ahmad; dahi dan hidung wajib diletakkan di atas lantai ketika sujud. Tidak cukup hanya dahi sahaja atau hanya hidung sahaja. Beliau berdalilkan hadis di atas di mana Nabi turut menunjukkan kepada hidungnya tatkala menyebutkan tentang dahi sebagai salah satu angota sujud. Selain itu ia berdalilkan juga hadis dari Abu Humaid as-Sa’idi yang menceritakan;

Nabi tatkala sujud, baginda menekan hidung dan dahinya ke tanah, menjauhkan dua tangan dari rusuknya dan meletakkan dua tapak tangan setentang dua bahunya” (Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan;Nabi telah melihat seorang lelaki menunaikan solat. Ia sujud tanpa meletakkan hidungnya di atas tanah. Lalu Nabi berkata kepadanya;

Letakkan hidungmu (ke tanah) supaya ia sujud bersamamu. (Riwayat Abu Nu’aim dalam Akhbar Asbahan).

Kedua; menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; yang wajib ialah meletakkan dahi sahaja. Adapun meletakkan hidung –di samping dahi- adalah sunat, tidak wajib. Sah sujud jika seseorang meletakkan dahinya sahaja di atas lantai tanpa meletakkan hidungnya. Bagi pandangan ini, hadis-hadis di atas menunjukkan kepada galakan, bukan kewajipan.

Ketiga; menurut Imam Abu Hanifah; boleh memilih sama ada hendak meletakkan dahi atau hidung di atas lantai. Bagi pandangan ini, isyarat Nabi kepada hidung tatkala menyebutkan dahi dalam hadis di atas ialah untuk menunjukkan keharusan memilih antara dahi atau hidung semasa sujud.

Adakah wajib semua anggota sujud di atas didedahkan (tanpa berlapik)?

Anggota-anggota sujud selain dahi telah sepakat para ulamak menyatakan tidak wajib didedahkan. Yang dituntut hanyalah meletakkannya di atas tanah/lantai. Oleh itu, harus seseorang menunaikan solat dengan memakai sarung tangan atau stokin. Adapun dahi, maka ia terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; pandangan ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; dahi wajib didedahkan dan mengenai secara lansung tempat sujud (tanpa ada penghadang). Tidak sah sujud jika semua bahagian dahi berlapik sehingga tidak ada sedikitpun darinya yang terdedah dan mengenai tempat sujud secara langsung. Termasuk tidak sah ialah lapik dari pakaian yang dipakai ketika solat.

Oleh demikian, tidak harus seseorang sujud di atas kain serban yang dipakainya atau di atas lengan bajunya atau di atas kain telekungnya atau benda-benda lain di badannya yang mengikuti pergerakan badannya.

Kedua; pandangan jumhur ulamak (termasuk Imam Malik, Abu Hanifah dan Imam Ahmad); dahi sama seperti anggota-anggota sujud yang lain iaitui tidak wajib didedahkan. Yang dituntut hanyalah meletakkannya di atas tempat sujud. Oleh itu, bagi jumhur ulamak, tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu sujud di atas kain serbannya atau kain telekungnya.

Mereka berdalilkan hadis dari Anas bin Malik r.a. yang menceritakan;

Kami mengerjakan solat bersama Rasulullah s.a.w. ketika panas yang bersangatan. Apabila sesiapa dari kami tidak dapat meletakkan dahinya di atas tanah kerana panas, ia bentangkan pakaiannya dan sujud di atasnya”. (Riwayat Imam Muslim).

(Dalail al-Ahkam, 1/ 298-299).

Tatkala turun sujud, mana dulu yang perlu di letakkan di atas lantai; tangan atau lutut?

Perkara ini juga terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Imam Ahmad); disunatkan turun sujud dengan mula meletakkan dua lutut, diikuti dua tangan dan akhirnya muka atau dahi. Ini berdasarkan hadis dari Wail bin Hujrin r.a. yang menceritakan;

Aku telah melihat Nabi apabila sujud, baginda meletakkan dua lututnya sebelum dua tangannya dan apabila bangkit dari sujud, baginda mengangkat dua tangannya (terlebih dahulu) sebelum dua lututnya. (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).

Kedua; pandangan sebahagian ulamak (antaranya Imam Malik dan al-Auza’ie); sunat mendahulukan dua tangan dari dua lutut tatkala turun sujud. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.;

Jika seseorang dari kamu sujud, janganlah ia berteleku sebagaimana telekunya unta, sebaliknya hendaklah ia meletakkan dua tangannya terlebih dahulu sebelum dua lututnya. (Riwayat Abu Daud, at-Nasai dan Ahmad dari Abu Hurairah r.a.).

Begitu juga, berdalilkan hadis dari Nafi’ yang menceritakan bahawa Ibnu ‘Umar r.a. semasa sujud, beliau meletakkan dua tangannya sebelum dua lututnya. Kata beliau (yakni Ibnu ‘Umar);

Nabi telah melakukan sedemikian” (Riwayat Imam al-Hakim, Ibnu Khuzaimah dan al-Baihaqi dengan sanad yang soheh. Lihat; Zadul-Ma’ad, 1/228)

Bagaimana cara sujud yang sempurna?

1. Ketika hendak turun sujud, ucapkan takbir tanpa mengangkat tangan.

2. Ketika sujud, dua tangan hendaklah diletakkan di atas lantai setentang dengan bahu atau telinga, dahi dan hidung hendaklah diletakkan di atas tanah dengan menekannya. Dari Abu Humaid as-Sa’idi menceritakan;

Nabi tatkala sujud, baginda menekan hidung dan dahinya ke tanah, menjauhkan dua tangan dari rusuknya dan meletakkan dua tapak tangan setentang dua bahunya. (Riwayat Imam at-Tirmizi dan Abu Daud. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).

Wail bin Hujrin r.a. (tatkala menceritakan sifat solat Nabi) beliau menceritakan;

….tatkala sujud, nabi meletakkan dua tangannya setentang dengan dua telinganya. (Riwayat Imam Ahmad).

3. Jari-jari dilepaskan menghala ke kiblat dalam keadaan dirapatkan antara satu sama lain. Wail bin Hujrin r.a. menceritakan;

Nabi s.a.w. tatkala ruku’ baginda merenggangkan antara jari-jarinya dan tatkala sujud baginda menghimpunnya (yakni merapatkannya). (Riwayat al-Hakim).

4. Kedua-dua siku diangkat dari tanah (yakni jangan meratakannya di atas tanah) dan dijauhkan dari dua rusuk (yakni tidak merapatkannya ke rusuk). Sabda Nabi;

Apabila kamu sujud, letaklah dua tapak tanganmu di atas lantai dan angkatlah dua sikumu (yakni jangan menghamparnya di atas tanah). (Riwayat Imam Muslim dari al-Barra’).

Sabda Nabi s.a.w. juga;

Sempurnakanlah sujudmu. Dan janganlah seseorang kamu menghamparkan dua tangannya (dari tangan hingga siku) seperti hamparan anjing (yakni; meletakkan kedua-dua tangan dan siku di atas tanah/lantai umpama anjing tidur). (Riwayat Imam Muslim dari Anas r.a.).

Menjauhkan tangan dari rusuk adalah berdasarkan hadis at-Tirmizi tadi dan juga hadis dari Buhainah r.a. menceritakan;

Nabi semasa menunaikan solat tatkala sujud, baginda memisahkan antara dua tangannya (dari rusuknya) hingga nampak putih dua ketiaknya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim/Bulugul-Maram).

5. Jari-jari kaki hendaklah dilipatkan menghala ke arah kiblat. Abu Humaid as-Sa’idi r.a. tatkala menceritakan sifat solat Nabi s.a.w. beliau menjelaskan;

….Ketika sujud Nabi meletakkan kedua tangannya ke bumi tetapi lengannya tidak dihamparkan dan tidak pula dirapatkan ke rusuk dan hujung jari kakinya dihadapkan ke arah qiblat. (Riwayat Imam al-Bukhari).

6. Ketika melakukan sujud wajib tomaninah dengan pengertian yang telah diterangkan terdahulu.

7. Ketika sujud disunatkan membaca zikir-zikir yang warid dari Nabi terutamanya tasbih. Begitu juga digalakkan banyak berdoa ketika berada di dalam sujud. Sabda Nabi s.a.w.;

Sehampir-hampir seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika ia sedang sujud. Oleh demikian, perbanyakkanlah oleh kamu sekelian berdoa (ketika sujud). (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Adakah harus membaca al-Quran semasa sujud?

Tidak harus kerana Nabi s.a.w. menegahnya dengan sabdanya;

Ketahuilah! Sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika ruku’ atau sujud. Adapun di dalam ruku’, maka hendaklah kamu agungkan Tuhan kamu. Sementara di dalam sujud, hendaklah kamu bersungguh-sungguh berdoa, nescaya doamu pasti akan diperkenankan. (Riwayat Imam Muslim).

%d bloggers like this: