HADITH-HADITH BERKAITAN NABI MUHAMMAD SAW


IRFANIRSYAD

Soalan:
Apakah status bagi hadith-hadith berikut? Kerana setiap kali berlakunya maulid Nabi SAW, hadith ini disebar serta dibacakan kepada orang awam. Hadithnya (maksudnya) ialah:

  • Barangsiapa yang mengagungkan maulidku nescaya akulah pemberi syafaatnya pada hari kiamat.
  • Barangsiapa yang membelanjakan satu dirham pada hari maulidku, maka seolah-olah dia telah membelanjakan segunung emas pada jalan Allah.

Jawapan:
Bagi hadith yang pertama, lafaznya adalah seperti berikut:
مَنْ عَظَّمَ مَولِدِي كُنْتُ شَفِيعًا لَهُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Manakala hadith yang kedua lafaznya adalah seperti berikut:
مَنْ أنفَقَ دِرْهَمًا فِي مَوْلِدِي فَكَأَنَّمَا أنفَقَ جَبَلًا مِن ذَهَبِ فِي سَبِيلِ الله
Kedua-dua hadith ini pernah dijawab oleh mantan mufti Negeri Johor al-Syeikh Syed Alwi bin Tahir al-Haddad Rahimahullah dan telah dimuatkan di dalam buku Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor  yang mana jawapan yang diberikan oleh beliau:
Hadis-hadis yang tuan sebutkan di atas itu adalah Hadis Maudhu’ (dusta) tidak benar dan tidak ada asalnya.

Umat Nabi Muhammad s.a.w. disuruh membesarkan Rasulullah s.a.w. dan memuliakannya menurut ayat-ayat Quran ada tersebut di dalam surah al-Fath.
Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Jibrin apabila ditanyakan tentang status hadith:
مَنْ عَظَّمَ مَولِدِي كُنْتُ شَفِيعًا لَهُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Jawab fadhilah al-Syeikh: “Hadith ini tidak sahih. Tidak diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadith yang sahih, tidak juga di dalam kitab-kitab sunan dan ianya adalah satu penipuan…”

Maka, kami nyatakan di sini bahawa hadith ini adalah palsu dan tidak sabit dari Nabi SAW. Mereka yang menyebar dan membacakan hadith ini dengan sengaja perlulah bertaubat kerana haram dan berdosa besar bagi sesiapa yang menipu di atas nama Nabi SAW.

Semoga pencerahan ini dapat memberi kefahaman kepada kita seterusnya lebih berhati-hati dalam menukilkan sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW. Wallahu a’lam.

Sumber : halaqah.net

TAUBAT MEMBERSIHKAN DIRI


Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya penerimaan taubat itu diterima oleh Allah hanya bagi orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’ : Ayat 17)

Islam menganjurkan umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran Islam dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dengan ini, barulah Muslim mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.

Walaubagaimanapun, dalam kehidupan manusia yang sentiasa berdepan pergolakan dan pancaroba menguji keimanan, kadang-kadang ada manusia yang tersungkur dan rebah akibat tergoda ajakan hawa nafsu bergelora.

Atau terjebak dalam kancah maksiat yang memperdayakan pandangan mata hati, akhirnya terpalit noda hitam dalam lubuk jiwanya. Natijahnya, dia terbelenggu dalam kegelapan, meraba-raba mencari sinar Ilahi menerangi hatinya yang tercalit karat dosa.

Justeru, Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan diri daripada dosa membayangi dirinya.

Imam al-Raghib al-Ashfahani menerangkan: “Dalam istilah syarak, taubat ialah meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali dosa yang pernah dilakukan, berkeinginan kuat untuk tidak mengulangi dan berusaha melakukan apa yang ditinggalkan dulu. Jika keempat-empat perkara itu sudah dipenuhi, bermakna syarat taubatnya sudah pun sempurna.”

Justeru, dapat difahami taubat mempunyai peranan untuk membersihkan diri daripada dosa. Oleh sebab itulah, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki makrifatullah.

Dengan taubat, manusia dapat memperbaharui janjinya dengan Allah untuk menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat yang merugikan, seterusnya mempertingkatkan keazaman beristiqamah serta beriltizam melaksanakan segala bentuk ketaatan penuh keikhlasan hanya kepada Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

Setiap anak Adam melakukan kesilapan, sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah.” (Hadis Riwayat Darimi)

Allah berfirman dalam Surah Al-Tahrim, ayat 8 yang bermaksud:

Wahai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

Perlu diinsafi, taubat tidak memadai hanya sekadar manis di bibir dengan melafazkan ucapan saja, selepas itu mengulangi semula perbuatan dosanya buat kesekian kalinya. Taubat yang sebenar menuntut seseorang melakukan lebih daripada itu.

Lanjutan itu, betapa perlunya kehidupan Muslim dihiasi amalan muhasabah dan menilai diri supaya dengan amalan itu dia dapat mengambil langkah berwaspada dalam menelusuri titian hidup. Kemudian, disusuli pula dengan amalan soleh yang bakal memperkuatkan ketahanan diri dan menggilap kemantapan jiwa menepis segala bentuk dugaan dan godaan mendatang.

Apabila ditinjau sirah Rasulullah SAW, Baginda adalah contoh teladan terbaik menjadi ikutan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW beristighfar sebanyak 70 kali dan Baginda juga tetap mendirikan solat tahajud di tengah malam padahal Baginda sudah diampunkan dosanya yang terdahulu dan akan datang.

Lantas Baginda menjelaskan kepada isterinya tercinta, Saidatina Aisyah:

Tidak bolehkah aku menjadi seorang hamba Allah yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

%d bloggers like this: