AL BIRUNI ILMUWAN ISLAM TERULUNG


Al-Biruni atau nama sebenar Abu Rayhan Muhammad ibn Ahmad Biruni adalah tokoh yang hidup sezaman dengan Al-Haitham, tetapi berada di tempat yang berlainan iaitu di Parsi.

Selain daripada menjadi ahli fizik, beliau juga ahli astronomi yang agung dan juga ahli matematik yang pintar.

Beliau dikatakan mempunyai pengetahuan yang luas; memahami geografi, sejarah dan agama.

Bukunya Qanun al-Mas’uddi merupakan teks astronomi yang paling menyeluruh pada azamannya yang digunakan beberapa abad lamanya. Bukunya yang bertajuk Unsur-unsur Astrologi juga menjadi rujukan ramai.

Al-Biruni membuat pengajian yang mendalam tentang fizik dan falsafah. Di dalam surat-suratnya kepada Ibn Sina membuktikan beliau tidak terikat dengan fizik Aristotle dan falsafah peripatetik.

Di dalam perutusannya kepada Ibn Sina, dia juga ada membincangkan tentang keselanjaran dan ketakselanjaran jirim dan beliau percaya adanya ketakselanjaran.

Beliau juga membincangkan apa yang difahamkan sebagai teori atom apabila ia menyangkal pendapat bahawa sesuatu bongkah itu boleh dibelah kepada beberapa komponen yang lebih kecil secara berterusan tanpa had.

Al-Biruni juga ada membincangkan tentang kemungkinan orbit cakerawala adalah dalm bentuk elips.

Beliau juga bertanggungjawab dalam memajukan mekanik dan hidrostatik. Dalam bidang mekanik beliau telah mengukur ketumpatan relatif beberapa logam dan bahan bukan logam dengan kejituan yang tinggi.

Bahan

Menurut Al-Biruni

Nilai moden

Emas/ Au

19.05

19.26

Tembaga/ Cu

8.83

8.85

Timah/Sn

7.15

7.29

Besi / Fe

7.74

7.7

Di dalam bidang mekanik bendalir beliau membincangkan tentang tekanan, keseimbangan bendalir dan penyesakan ke atas air pada mata air.

Pada usia 27 tahun, beliau telah menulis buku bertajuk ‘Kronologi’ yang merujuk kepada hasil kerja lain yang dihasilkan oleh beliau sekarang termasuk sebuah buku berkenaan ‘astrolabe’, satu berkenaan sistem perpuluhan, empat buku berkrnaan astrologi dan dua lagi berkenaan sejarah.

Beliau membuat pengiraan jejari bumi kepada 6339.6 kilometer (hasil ini diulang di Barat pada abad ke 16).

Hasil karya Al Baruni mencecah lebih 120 kitab.

HASIL KARYA MATEMATIK

Sumbangannya kepada matematik termasuk:

▪ teori dan amali aritmetik

▪ penjumlahan siri

analisis kombinatorik

peraturan tiga

nisbah (irrational numbers)

teori nisbah

▪ definisi algebra

▪ kaedah untuk penyelesaian persamaan algebra

geometri

teori Archimedes

pembahagian tiga sama sudut

HASIL KARYA BUKAN MATEMATIK

Hasil kerjanya yang bukan matematik termasuk:

Kajian kritis mengenai apa yang telah dikatakan oleh India, baik diterima mengikut pemikiran atau tidak (Bahasa Arab: تحقيق ما للهند من مقولة معقولة في العقل أم مرذولة): Sari pati agama dan falsafah India.

Tanda-tanda tinggal abad-abad yang lalu(Bahasa Arab: الباقية عن القرون الخالية): kajian perbandingan kalendar-kalendar pelbagai budaya dan peradaban, berjalin maklumat matematik, astronomi dan sejarah.

Daftar karya Mas’udi (Arabic القانون المسعودي): sebuah buku mengenai Astronomi, Geografi dan Kejuruteraan, yang didedikasikan dan dinamai sempena nama Mas’ud, anak lelaki kepada Mahmud dari Ghazni.

Memahami Astrologi (Bahasa Arab التفهيم لصناعة التنجيم): Buku soal-jawab mengenai matematik dan astronomi, dalam bahasa Arab dan Persia.

Farmasi: mengenai drug dan ubat.

Permata (Bahasa Arab: الجماهر في معرفة الجواهر) mengenai geologi, mineral dan permata, yang didedikasikan kepada Mawdud, anak lelaki kepada Mas’ud.

Astrolabe.

▪ Buku sejarah ringkas.

Sejarah Mahmud dari Ghazni serta ayahandanya

Sejarah Khawarazm

IBN AL-BAITAR – PAKAR BOTANI MUSLIM


Ibn al-Baitar atau nama penuhnya Abu Muhammad Abdallah Ibn Ahmad Ibn al-Baitar Dhiya al-Din al-Malaqi adalah salah seorang saintis terulung Muslim Sepanyol. Beliau dilahirkan di sebuah kota dikenali Malaqa atau Malaga di Sepanyol pada akhir kurun ke-12. Beliau merupakan seorang ahli botani dan farmasi yang terkenal pada kurun pertengahan.

Beliau belajar ilmu botani daripada Abu al-Abbas al-Nabati. Perkara pertama yang dilakukannya ialah mengumpul tumbuh-tumbuhan dari seluruh Sepanyol. Pada tahun 1219, beliau meninggalkan Sepanyol untuk menjalankan kerja-kerja mengumpul tumbuh-tumbuhan menerusi pengembaraan di bahagian utara susur pantai benua Afrika. Pengembaraan itu menjangkau sehingga ke benua Asia Kecil. Cara beliau mengembara sama ada di darat atau laut tidak diketahui sehingga hari ini. Bagaimanapun antara tempat-tempat yang beliau singgah dan lawati ialah Bugia, Qastantunia (Constantinople), Tunis, Tripoli, Barqa and Adalia.

Selepas tahun 1224, beliau menyertai perkhidmatan al-Kamil kerajaan Gabenor Mesir dan dilantik sebagai ketua pakar herba. Pada tahun 1227, al-Kamil telah meluaskan kuasanya sehingga ke Damsyek manakala Ibn al-Baitar mengiringinya ke sana yang mana ia turut menyumbang kepadanya untuk mengumpul tumbuh-tumbuhan di Syria. Penyelidikannya mengenai tumbuh-tumbuhan ketika itu turut diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Arab Saudi dan Palestin.

Di kedua-dua negara itu, beliau berpeluang melawat stesen penyelidikan dan mengumpul tumbuh-tumbuhan yang terdapat di situ. Beliau meninggal dunia di Damsyek pada tahun 1248. Sumbangan utama Ibn Baitar ialah Kitab al-Jami fi al-Adwiya al- Mufrada yang merupakan salah sebuah kompilasi botani yang terhebat mengenai tumbuh-tumbuhan perubatan di Arab Saudi.

Statusnya sebagai pakar botani terus unggul di kalangan ahli botani lain sehingga kurun ke-16. Ini ada kaitan dengan kerja-kerjanya yang penuh sistematik terutama pada awal penglibatannya dalam dunia botani. Kritikan yang diterimanya ketika itu tidak mematahkan semangat beliau, sebaliknya menyuntik semangat kepadanya untuk menyumbang dalam bidang botani. Ensiklopedianya itu mengandungi kira-kira 1,400 pelbagai perkara yang sebahagian besarnya mengenai tumbuhan perubatan dan sayur-sayuran. Lebih mengagumkan, ensiklopedia itu mendedahkan kira-kira 200 jenis tumbuh-tumbuhan yang sebelum itu tidak dikenali.

Buku itu ditulis hasil rujukannya daripada 150 penulis lain yang kebanyakannya dari Arab Saudi dan ia turut memetik kenyataan 20 ahli sains terawal Greek. Ensiklopedia itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan diterbitkan pada tahun 1758. Hasil karyanya yang kedua ialah Kitab al-Mlughni fi al-Adwiya al-Mufrada iaitu sebuah ensiklopedia perubatan.

Beberapa jenis dadah telah disenaraikan mengikut kesesuaiannya dengan nilai-nilai terapeutik atau ilmu perubatan mengenai cara merawat atau mengubati penyakit. Selain itu, terdapat 20 bab berlainan mengenai tumbuh-tumbuhan yang mempunyai signifikan dengan penyakit berpunca dari kepala, telinga, mata dan lain-lain. Beliau turut memetik kenyataan daripada pakar bedah Muslim terkenal, Abul Qasim Zahrawi untuk dimuatkan ke dalam bab berkaitan pembedahan.

Selain menggunakan bahasa Arab untuk menamakan tumbuh-tumbuhan yang ditemuinya, Ibn Baitar turut menggunakan bahasa Greek dan Latin untuk tujuan itu. Sumbangan Ibn Baitar dalam bidang ini lebih kepada karakter hasil pemerhatian, analisis dan klasifikasinya terhadap tumbuh-tumbuhan. Ia turut dilihat memiliki pengaruh dari Barat dan Timur dalam ilmu botani dan perubatan. Sejak kitab Jami diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa berkenaan, ramai ahli sains lain mula mengkaji isi kandungannya dan seterusnya menjadikannya sebagai bahan rujukan. Ibnu Baitar meninggal dunia di Damsyek pada tahun 1248.

IBN KHALDUN – BAPA SOSIO EKONOMI DAN POLITIK


Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Wali al-Din Abd al-Rahman bin Muhammad bin Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan lahir di Tunis pada 1 Ramadan 732H Keluarganya berasal daripada keturunan Arab Hadramaut yang pernah menetap di Serville, Italy, dan SepanyoL Akhirnya berpindah dan menetap di Afrika Utara semasa pemerintahan Hafs Abu Zakariyya, pemerintah Tunis pada waktu itu.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Ibn Khaldun mendapat pendidikan dalam pelbagai ilmu Islam seperti al-Quran, al’Hadith, perundangan Islam, kesusasteraan, falsafah, bahasa, dan mantik. Antara gurunya ialah Muhammad Ibrahim al-Abili, Abu Abd Allah al-Jayyani, Abd Allah Muhammad bin Abd al-Salam.Ibn Khaldun menjadi cendekiawan yang agung sehingga disanjung oleh Barat kerana buah fikirannya, Walau bagaimana pun jarang umat Islam mengkajinya. Sebenarnya, sumbangan pemikiran Ibn Khaldun dalam ekonomi banyak dimuatkan dalam hasil karya agungnya, al Muqaddimah. Antara teori ekonomi yang terdapat dalam karyanya masih lagi relevan dengan masalah ekonomi semasa.

Ibn Khaldun telah membincangkan beberapa prinsip dan falsafah ekonomi seperti keadilan (al adl), hardworking, kerjasama (cooperation), kesederhanaan (moderation), dan fairness.Berhubung dengan keadilan (Justice), Ibn Khaldun telah menekankan bahawa keadilan merupakan tulang belakang dan asas kekuatan sesebuah ekonom. Apabila keadilan tidak dapat dilaksanakan, sesebuah negara akan hancur dan musnah.Menurut beliau, ketidakadilan tidak sahaja difahami sebagai merampas wang atau harta orang lain tanpa sebarang sebab yang diharuskan. Malah, mengambil harta orang lain atau menggunakan tenaganya secara paksa atau membuat dakwaan palsu terhadap orang lain. Begitu juga kalau meminta seseorang melakukan sesuatu yang berlawanan dengan Islam.

Beliau mengkategorikan perampas harta orang lain secara tidak sah hingga memberi kesan kepada kehidupan isteri dan keluarga sebagai paling tidak adil. Menurut beliau lagi, seseorang yang membeli harta seseorang dengan harga yang paling murah termasuk dalam kategori memiliki harta cara yang tidak betul. Ketidakadilan seumpama di atas membawa kepada kejatuhan sesebuah negara dan keruntuhan sesebuah tamadun dengan segera. Menurut Ibn Khaldun, atas sebab sebab tersebutlah semua bentuk ketidakadilan dilarang oleh Islam.

Manusia dan Ekonomi

Berdasarkan analisis mendalam, didapati kesemua teori ekonomi dan idea Ibn Khaldun tentang manusia berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan falsafah Islam. Ibn Khaldun tidak melihat fungsi utama manusia dalam aktiviti perekonomiannya seumpama haiwan ekonomi (economic animal). Sebaliknya beliau menganggap manusia itu sebagai manusia Islam (Islamic man/homo Islamicus) yang memerlukan pengetahuan ekonomi untuk memenuhi misinya di atas muka bumi ini.Dalam hal ini, Ibn Khaldun menekankan perlunya manusia menjauhi perbuatan jahat. Sebaliknya manusia wajib mengikuti ajaran Islam sebagai model untuk memperbaiki dirinya dan mesti memberikan keutamaan kepada kehidupan akhirat.

Teori Pengeluaran

Ibn Khaldun mengemukakan teori bahawa kehidupan perekonomian sentiasa menghala ke arah pelaksanaan keseimbangan antara penawaran dengan permintaan. Menurut beliau pengeluaran berasaskan kepada faktor buruh dan kerjasama masyarakat. Bahkan beliau menganggap buruh merupakan faktor terpenting dalam proses pengeluaran walaupun faktor-faktor lain seperti tanah tersedia, tenaga buruh perlu untuk menghasilkan matlamat akhir.

Selain itu beliau berpendapat bahawa kenaikan yang tetap pada paras harga amat perlu untuk mengekalkan tahap produktiviti. Dalam hal ini beliau menyarankan agar masyarakat melakukan perancangan supaya setiap bidang pekerjaan dilakukan oleh orang yang mahir dan cekap.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi (economic growth) dan pembahagian tenaga buruh bergantung rapat dengan pasaran. Di sini dapatlah dinyatakan bahawa teori pembahagian tenaga buruh, pengkhususan tenaga buruh, dan pertukaran yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun 100 tahun lebih awal daripada Adam Smith yang juga mengemukakan teori yang sama.

Teori Nilai, Wang dan Harga

Ibn Khaldun tidak secara jelas membezakan antara teori nilai diguna (use value) dengan nilai pertukaran (exchange value). Tetapi beliau dengan tegas berhujah bahawa nilai sesuatu barangan bergantung kepada nilai buruh yang terlibat dalam proses pengeluaran.”Semua usaha manusia dan semua tenaga buruh perlu digunakan untuk mendapatkan modal dan keuntungan. Tidak ada jalan lain bagi manusia untuk mendapatkan keuntungan melainkan melalui penggunaan buruh, kata Ibn Khaldun.

Manuskrip dari ibn Khaldun "al-Muqaddimah ', dengan tanda tangannya di sudut kiri atas.

Teori Pengagihan

Menurut Ibn Khaldun harga barangan terdiri daripada tiga elemen utama iaitu gaji atau upah, keuntungan, dan cukai. Ketiga-tiga elemen ini merupakan pulangan kepada masyarakat. Oleh sebab itu, beliau membahagikan ekonomi kepada tiga sektor iaitu sektor pengeluaran, pertukaran, dan perkhidmatan awam. Menurut Ibn Khaldun, nilai atau harga sesuatu barangan sama dengan kuantiti buruh yang terlibat dalam pengeluaran barangan berkenaan. Harga buruh merupakan asas kepada penentuan harga sesuatu barangan dan harga buruh itu sendiri ditentukan oleh mekanisme permintaan dan penawaran dalam pasaran. Manakala keuntungan terhasil daripada perbezaan yang diperoleh oleh peniaga antara harga jualan dengan harga belian. Namun begitu perbezaan antara kedua-dua harga itu.

Al-Muqaddimah

Ibn Khaldun paling masyhur dengan buku beliau Muqaddimah (Pendahuluan). Ia adalah masterpiece dalam kesusasteraan mengenai falsafah sejarah dan sosiologi. Tema utama dalam karya besar ini adalah untuk mengenali fakta-fakta psikologi, ekonomi, persekitaran dan sosial yang menyumbang kepada kemajuan tamadun manusia dan peristiwa-peristiwa semasa dalam sejarah. Beliau menganalisis daya gerak hubungan perkauman dan menunjukkan bagaimana rasa perkauman (syu’b al-‘asabiyyah) dapat menghasilkan kenaikan tamadun dan kuasa politik baru. Beliau mengenal pasti ulangan hampir berirama bagi kebangkitan dan kejatuhan dalam tamadun manusia, dan menganalisis faktor-faktor yang menyumbang kepadanya.

Pandangan-pandangan revolusi Ibn Khaldun telah menarik perhatian sarjana-sarjana Muslim dan juga ramai pemikir Barat. Dalam kajian sejarah beliau, Ibn Khaldun adalah peneroka dalam mensubjekkan laporan-laporan sejarah kepada dua kategori asas iaitu akal, dan undang-undang sosial dan fizikal. Beliau mengetengahkan empat perkara penting dalam kajian dan analisis laporan sejarah seperti berikut:

  1. mengaitkan peristiwa-peristiwa antara satu sama lain melalui sebab dan akibat
  2. membuat analogi antara masa lalu dan masa sekarang
  3. mengambil kira kesan persekitaran
  4. mengambil kira kesan keadaan yang diwarisi dan ekonomi

Ibn Khaldun menerokai kajian kritis terhadap sejarah. Beliau menyediakan kajian analisis mengenai tamadun manusia, permulaannya, faktor-faktor yang menyumbang kepada kemajuannya dan sebab-sebab kejatuhannya. Oleh itu, beliau telah mengasaskan satu sains baru: sains kemajuan sosial atau sosiologi, seperti mana yang kita panggil sekarang. Ibn Khaldun menulis: “Saya telah menulis sebuah buku mengenai sejarah yang dalamnya saya bincangkan sebab-sebab dan akibat-akibat kemajuan negara-negara dan tamadun-tamadun, dan saya mengikuti satu kaedah yang tidak lazim dalam menyusun material buku tersebut, dan saya mengikuti satu kaedah baru dan inovatif dalam menulisnya.” Dengan memilih kaedah analisis tertentu beliau itu, beliau telah mencipta dua sains baru: historiologi dan sosiologi serentak.

Ibn Khaldun berhujah bahawa sejarah tertakluk kepada undang-undang semesta dan menyatakan kriteria bagi fakta sejarah: “Peraturan bagi membezakan apa yang benar dan apa yang palsu dalam sejarah adalah berdasarkan kebolehjadian atau ketidak bolehjadiannya: iaitu saya katakan, kita mesti memeriksa masyarakat manusia dan membezakan antara sifat-sifat yang penting dan semulajadi dalam tabiinya dan apa yang secara kebetulan dan tidak perlu dilaporkan, mengenal pasti dengan lebih lanjut apa yang tidak mungkin dimilikinya. Jika kita melakukan ini, kita mempunyai satu peraturan untuk memisahkan fakta sejarah dari kesilapan dengan menggunakan kaedah-kaedah demonstratif yang tiada keraguan. Ia adalah kayu ukur sejati yang dengannya para sejarawan dapat mengesahkan apa sahaja yang mereka riwayatkan.”

IMAM SYATIBIY TOKOH QIRAAT


Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
(Sumber: Arkib Utusan Online: 22-6-2011)
Para hakim tilawah bahagian tajwid terutama di peringkat antarabangsa perlu menguasai ilmu qiraat supaya penghakimannya lebih tepat. – Gambar hiasan

DALAM dunia Islam banyak terdapat persamaan nama ulama antaranya Imam Syatibiy. Jika mereka yang mendalami ilmu syariat, nama Imam Syatibiy tidak asing kerana beliau adalah seorang tokoh perundangan yang menghasilkan banyak buku yang menjadi rujukan antaranya kitab al-Muwafaqat dan al-I’tisam.

Nama penuh Imam Syatibiy yang mengarang kitab al-Muwafaqat ialah Ibrahim Ibn Musa Ibn Muhammad al-Syatibiy dan beliau meninggal dunia pada tahun 790 hijrah.

Sementara Imam Syatibiy yang menjadi tokoh qiraat pula bernama al-Qasim ibn Firruh Ibn Khalaf Ibn Ahmad al-Syatibiy. Beliau meninggal dunia pada tahun 590 hijrah.

Karya agung yang dihasilkan oleh Imam Syatibiy al-Muqri’ dan sehingga kini menjadi rujukan di pusat pengajian tinggi al-Quran dalam dan luar negara adalah Hirzu al-Amani wa Wajhu al-Tahani atau terkenal dengan nama Matn Syatibiy.

Imam Syatibiy

Imam Syatibiy yang alim ilmu qiraat ini walaupun cacat penglihatan namun pandangan hatinya begitu tajam dan Allah menganugerahkan kepadanya kepandaian yang jarang dimiliki insan lain.

Matn Syatibiy yang dihasilkan itu ditulis dalam bentuk syair berjumlah 1,173 rangkap dan kesemua rangkap syairnya itu berakhir dengan huruf lam.

Kitab Al-Muwafaqat.

Beliau menerima ilmu Qiraat dan mendalaminya daripada Sheikh Abi Abdillah Muhammad Ibn abi al-‘As al-Nafazi. Selepas itu beliau membaca kitab Qiraat yang dikarang oleh Abu Amru al-Dani iaitu al-Taisir secara hafalan di hadapan gurunya Ibn Huzail.

Selain itu, beliau juga pakar dalam ilmu hadis dan mampu memperbetulkan hadis-hadis yang salah dibaca daripada kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Kitab Muwatta’ Imam malik berdasar kepada hafalannya.

Ketika beliau menziarahi Mesir, pemerintah Mesir ketika itu meraikan dan menghormatinya. Pemerintah Mesir juga memberi segala kemudahan dan bantuan kepada Imam Syatibiy antaranya melantiknya menjadi ketua guru qiraat di sebuah pusat pengajian Quran di Kaherah.

Menurut Sheikh Abdul Fattah al-Mirsafi, ketika Imam Syatibiy berada di Mesir inilah beliau telah menulis Matn Syatibiy dan Matn Nazimat al-Zuhri dalam Ilmu fawasil.

Matn Syatibiy mendapat tempat dalam arus pembelajaran ilmu qiraat dengan pengaruh yang amat kuat kerana dua sebab utama. Pertama, murid-murid Imam Syatibiy adalah ulama yang amat berpengaruh, menjadi nadi kepada pengajar Matn Syatibiy dan antara mereka ialah muridnya Imam al-Sakhawi iaitu pengarang kitab Jamal al-Qurra.

Faktor kedua, rujukan utama Matn Syatibiy adalah kitab al-Taisir karangan Imam al-Dani yang popular sebelumnya dan diterima ramai. Justeru apabila metod ditukar kepada bentuk syair atau nadham ia mudah untuk dihafal dan menguasai ilmu Qiraat Tujuh.

Di Mesir, Matn Syatiby masih lagi sehingga kini menjadi sukatan pelajaran ilmu Qiraat di peringkat ‘Aliyah di Maahad Qiraat. Di Kuliyyah Quran, Universiti Islam Madinah, Matn Syatibiy menjadi sukatan pelajaran di tahun satu pengajian hingga ke tahun tiga.

Sehingga hari ini banyak ilmu Imam Syatibiy diamalkan sehinggalah penulisan al-Quran dan pembacaannya selalu disebut adalah mengikut riwayat Hafs dari Qiraat Imam ‘Asim dan dari Tariq Syatibiy.

IBNU MASKAWAIH


Nama sebenar Ibnu Maskawaih ialah Abu Ali Ahmad bin Muhammad bin Yaakub bin Maskawaih (330-421 H / 941 – 16 Februari 1030). Ada yang menyebut bahawa nama tokoh ini “Maskawaih” sahaja, tanpa “Ibnu”, kerana belum dapat dipastikan apakah Maskawaih adalah namanya sendiri atau nama anak lelaki (Ibnu) kepada Maskawaih.

Ibnu Maskawaih terkenal sebagai ahli sejarah dan falsafah. Di samping itu, beliau juga seorang moralis, penyair, serta banyak mempelajari ilmu kimia. Beliau belajar sejarah, terutamanya Tarikh at-Tabari (sejarah yang ditulis at-Tabari), daripada Abu Bakar Ahmad bin Kamil al-Qadi pada tahun 350 H / 960 M, sementara beliau mempelajari ilmu falsafah melalui guru yang bernama Ibnu Khamar, seorang mufasir (juru tafsir) kenamaan yang banyak ‘mentafsir’ karya-karya Aristotle. Manakala Abu at-Tayyib ar-Razi adalah guru Ibnu Maskawaih dalam bidang kimia.

Ibnu Maskawaih mempunyai hubungan yang baik dengan orang-orang penting dan penguasa pada zamannya. Beliau pernah bekerja dengan Abu Fadl al-Amid sebagai pustakawan. Setelah Abu Fadl al-Amid meninggal dunia, Ibnu Maskawaih bekerja pula dengan putera a-Amid, iaitu Abu al-Fath Ali bin Muhammad al-Amid. Kedua-dua penguasa tersebut adalah menteri pada masa Dinasti Bawaihi (945-1055 M). Selain itu, Ibnu Maskawaih juga pernah bertugas dengan Adud ad-Daulah, yang juga salah seorang penguasa Buwaihi. Ibnu Maskawaih mempunyai pengaruh besar di daerah Rayy.

Ibnu Maskawaih terkenal sebagai pemikir Muslim yang produktif. Beliau telah menghasilkan banyak karya dalam bidang penulisan tetapi hanya sebahagian kecil yang sekarang ini masih ada, antara lainnya ialah:

 (1)  Al-Fauz al-Akbar (Kemenangan Besar)

(2)  Al-Fauz al-Asgar (Kemenangan Kecil)

(3)  Tajarib al-Ulum (Pengalaman Bangsa-bangsa)

Bahagian terpenting daripada pemikiran ahli falsafah Ibnu Maskawaih ditujukan pada etika dan moral. Beliau seorang moralis dalam erti sesungguhnya. Masalah moral dibicarakan dalam tiga bukunya, iaitu Tartib as-Sa’adah, Tahzib al-Akhlaq, dan Jawidan Khirad.

Di dalam bukunya,  al-Fauz al-Asgar, Ibnu Maskawaih membicarakan tentang pembuktian adanya Tuhan, tentang roh serta kerahsiaannya, dan tentang kenabian. Ketika berbicara mengenai Tuhan, Ibnu Maskawaih menggunakan istilah “Penggerak Pertama”, dengan sifat dasar esa dan abadi.

Ibnu Maskawaih juga membawa konsep “emanasi”, iaitu bahawa wujud pertama yang memancar daripada Tuhan adalah “kebijaksanaan pertama”, yang sama dengan akal aktif dan kekal. Emanasi lebih sempurna apabila dibandingkan dengan yang lebih rendah daripadanya dan tidak sempurna apabila dibandingkan dengan Tuhan.

Sebagai pemikir agama, Ibnu Maskawaih sebagaimana terlihat dalam karyanya, mencuba membuktikan bahawa penciptaan bermula daripada ketiadaan (al- Ijad min la Syai’).

Konsep moral Ibnu Maskawaih pula sangat berhubungan erat dengan masalah roh. Beliau membuat hipotesis bahawa pembawaan roh dengan kebajikan-kebajikan yang mempunyai tiga jenis pembawaaan: rasional, keberanian, dan hasrat. Di samping itu, roh juga mempunyai tiga kebajikan yang saling berkaitan iaitu: kebijaksanaan, keberanian, dan kesederhanaan. Mengenai fitrah manusia, Ibnu Maskawaih berpendapat bahawa adanya manusia bergantung pada kehendak Tuhan, tetapi baik dan buruknya manusia diserahkan kepada manusia sendiri dan bergantung pada kemahuannya sendiri.

Mengenai sejarah, pandangan dan analisis Ibnu Maskawaih yang dimuatkan di dalam buku Tajarib al-Umam begitu berfalsafah, ilmiah, dan kritis. Beliau berpendapat bahawa sejarah merupakan rakaman tentang turun-naiknya suatu peradaban, bangsa-bangsa, dan negara-negara. Maka ahli sejarah harus menghindarkan diri daripada kecenderungan umum mencampuradukkan kenyataan dengan rekaan atau kejadian-kejadian palsu. Ia harus bergantung kepada fakta, kritis dalam mengumpulkan data, menyertakan pandangan-pandangan ahli falsafah, dan mentafsirkannya dalam lingkup kepentingan manusia.

Sejarah bukanlah kumpulan kenyataan terpisah dan statik, tetapi merupakan proses kreatif dan dinamik daripada harapan dan aspirasi manusia yang hidup dan berkembang. Strukturnya ditentukan oleh cita-cita dasar dan cita-cita kebangsaan serta negara. Sejarah tidak hanya mengumpulkan kenyataan masa lampau menjadi suatu kesatuan organik, melainkan juga menentukan bentuk sesuatu yang akan datang.

Pandangan Ibnu Maskawaih mengenai sejarah yang dituangkan dalam bukunya Tajarib al-Umam amat dekat dengan prinsip-prinsip yang dianut oleh ahli-ahli sejarah Barat dan ahli-ahli sejarah moden.

Sumber: Umattan Wassatan

JABIR IBN HAYYAN – BAPA KIMIA MODEN


Pada peringkat awal kerjaya Abu Musa Jabir Ibn Hayyan, beliau pernah berguru pada Barmaki Vizier iaitu semasa zaman Khalifah Abbasiah pimpinan Harun Ar-Rasyid.Sumbangan terbesar beliau ialah dalam lapangan ilmu kimia. Beliau cukup terkenal kerana hasil penulisan yang melebihi daripada seratus risalah yang telah diabadikan sehingga kini. Terdapat sebanyak 22 risalah yang antaranya berkaitan dengan alkimia (Al-Kimiya dari bahasa Arab) dan ilmu kimia.

Beliaulah yang memperkenalkan model penelitian dengan cara eksperimen didunia alkimia. Maknanya, beliau yang menjana momentum bagi perkembangan ilmu kimia moden.Jabir banyak mengabdikan dirinya dengan melakukan eksperimen dan pengembangan kaedah untuk mencapai kemajuan dalam bidang penyelidikan. Beliau mencurahkan daya upayanya pada proses pengembangan kaedah asas ilmu kimia dan kajian terhadap pelbagai mekanisme tindak balas kimia.Jadi, beliau mengembangkan ilmu kimia sebagai cabang ilmu alkimia.Beliau menegaskan bahawa kuantiti yang tepat daripada bahan kimia saling berhubungan dengan wujudnya tindak balas kimia yang akan berlaku. Oleh sebab itu, bolehlah dikatakan bahawa Jabir telah meletakkan dasar ke atas hukum nisbah tetap.

Sumber imej dari wikipedia.org - Potret "Geber" Eropah abad ke 15, Codici Ashburnhamiani 1166, Biblioteca Medicea Laurenziana, Florence.

Sumbangan yang paling asas oleh Jabir dalam bidang ilmu kimia termasuk juga dalam bidang penyempurnaan pendekatan saintifik, seperti pada proses penghabluran, penyulingan, kalsinasi (penukaran logam kepada oksidanya dengan cara pembakaran), pejalwap dan penyejatan serta pengembangan terhadap beberapa peralatan untuk menjalankan eksperimen itu.Pencapaian praktis utama yang disumbangkan oleh beliau ialah penemuan bahan mineral dan asid, yang telah pun dipersiapkan pertama kali dalam penelitian tentang alembik (Anbique). Rekaannya terhadap alembik membuatkan proses penyulingan menjadi lebih mudah dan sistematik.

Antara beberapa kejayaannya yang lain dalam bidang kimia, salah satunya ialah dalam penyediaan asid nitrik, hidroklorik, sitrik, dan tartarik. Penekanan Jabir dalam bidang eksperimen sistematik ini diketahui umum tidak ada duanya didunia.Oleh sebab itulah, mengapa Jabir diberi kehormatan sebagai “Bapa Ilmu Kimia Moden” oleh rakan sejawatnya diseluruh dunia. Bahkan dalam tulisan Max Mayerhaff, disebutkan bahawa jika ingin mencari susur galur perkembangan ilmu kimia di Eropah maka bolehlah dijejaki secara langsung pada karya-karya Jabir Ibnu Haiyan. Tegasnya, Jabir merupakan seorang pelopor dalam beberapa bidang pengembangan ilmu kimia gunaan. Sumbangan beliau termasuk juga dalam pembangunan keluli, penyediaan bahan-bahan logam, bahan antikarat, tinta emas, penggunaan bijih mangan dioksida untuk pembuatan kaca, bahan pengering pakaian, dan penyamakan kulit.

Sumbangan beliau juga pada menyediakan pelapisan bahan anti air pada pakaian, serta campuran bahan cat, dan gris. Selain itu, beliau juga mengembangkan teknik peleburan emas dengan menggunakan bahan aqua regia.Idea eksperimen Jabir itu sekarang telah menjadi dasar untuk mengklasifikasikan unsur-unsur kimia, terutamanya pada bahan logam, bukan logam, dan penguraian bahan kimia. Beliau telah merumuskan tiga bentuk berbeza daripada bahan kimia berdasarkan unsur-unsurnya:

  • Cecair (spirit), yakni yang mempengaruhi pengewapan pada proses pemanasan, seperti pada bahan kapur barus (camphor), arsenik, dan ammonium klorida.
  • Logam, seperti emas, perak, timah, tembaga, besi.
  • Bahan campuran, yang boleh ditukar menjadi serbuk.

Pada abad pertengahan, risalah-risalah Jabir dalam bidang ilmu kimia – termasuk kitabnya yang masyhur, Kitab Al-Kimya dan Kitab Al-Sab’een, telah diterjemahkan ke bahasa Latin. Bahkan terjemahan Kitab Al-Kimya telah diterbitkan oleh orang Inggeris yang bernama Robert Chester pada tahun 1444, dengan judul The Book of the Composition of Alchemy. Buku kedua, Kitab Al-Sab’een diterjemahkan juga oleh Gerard dari Cremona. Berthelot pula menterjemahkan beberapa buku beliau, yang antaranya dikenali dalam judul Book of Kingdom, Book of the Balances, dan Book of Eastern Mercury.

Berikutnya pada tahun 1678, seorang berbangsa Inggeris, iaitu Richard Russel mengalihbahasakan karya Jabir yang lain dengan judul Sum of Perfection. Berbeza dengan pengarang sebelumnya, Richardlah yang pertama kali menyebut Jabir dengan sebutan Geber. Dialah yang memuji Jabir sebagai seorang pendeta Arab dan juga ahli falsafah. Buku ini kemudiannya menjadi sangat popular di Eropah selama beberapa abad lamanya dan telah member! impak dan pengaruh yang cukup besar kepada evolusi ilmu kimia moden. Istilah alkali, pertama kali ditemukan oleh Jabir. Sungguhpun begitu, daripada semua karyanya, hanya sedikit sahaja yang telah diterjemahkan. Sebahagian besar karyanya tetap kekal dalam bahasa Arab.

IBN BAJJAH DAN SUMBANGANNYA


BIOGRAFI

Salah seorang dari mereka ialah Abu Bakar Muhammad Ibn Yahya al-Saigh al-Tujibi al-Andalusi al-Samqusti  atau dikenali sebagai Ibn Bajjah. Beliau berasal dari keluarga al-Tujib yang bekerja sebagai pedagang emas.Tetapi di Barat ia di kenali sebagai dengan nama Avempace. Beliau dilahirkan di Saragossa pada tahun 1082 Masihi.

Ibn Bajjah merupakan merupakan di antara cendiakawan yang dapat menguasai pelbagai ilmu yang dipelajarinya. Di antaranya ialah : 

  1. Ahli hafiz Al-Quran
  2. Bidang kedoktoran
  3. Seorang ahli muzik dan pemain gambus yang handal
  4. Menguasai ilmu matematik, fizik dan falak
  5. Bidang falsafah

RENTETAN KEHIDUPAN

Selain di dalam bidang ilmu dan falsafah yang diceburi oleh Ibn Bajjah, beliau juga turut melibatkan diri di dalam bidang politik. Ia bermula di tempat lahirnya sendiri iaiati di  Saragoassa  apabila dia  mula bergiat sebagsai penyair bagi pihak al-Murabithun yang dipimpin oleh Abu Bkr Ibn Tafalwit. Kemudian apabila Abu Bkr berkuasa di situ, Ibn Bajjah dilantik sebagai menteri.

 Pada tahun 1118 M, (512H) Saragossa dapat ditakluk oleh raja Alfonso yang berasal dari Aragon ,maka Ibn Bajjah pun berpindah ke Seville. Di dalam perjalanannya ke Seville dia singgah di Valencia. Di Seville, Ibn Bajjah menjalankan tugas sebagai seorang doktor dan banyak menulis tentang ilmu logik.

 Kemudian Ibn Bajjah berpindah ke Granada ,dan dari sana beliau berpindah ke Afrika Utara ,iaitu pusat Dinasti Murabithun .Tetapi oleh kerana cara pemikiran falsafahnya asing di kalangan masyarakat di situ. Beliau ditangkap apabila tiba di kota Syatibah iaitu di Maghribi oleh Amir Abu Ishak Ibrahim Ibn Yusuf Ibn Tasifin yang menuduhnya sebagai murtad dan pembawa bid’ah. Oleh kerana Ibn Rusyd pernah menjadi muridnya Ibn Bajjah dilepaskan. 

 Ekoran dari kejadian tersebut, beliau meneruskan perjalanannya ke Fez di Morocco. Di sana, beliau mendapat penghormatan yang tinggi di kalangan orang al-Murabithun dan diangkat menjadi menteri oleh Abu Bakar Yahya Ibn Yusuf Ibn Tasifin untuk jangka waktu yang panjang.

 Kedudukan yang beliau perolehi, telah menimbulkan rasa dengki dan iri hati dari pelbagai pihak. Akhirnya pada bulan Ramadhan pada tahun 1138M (533H). Menurut satu riwayat  beliau meninggal dunia akibat  diracuni oleh seorang doktor yang bernama Abu al-‘Ala Ibn Zuhri yang iri hati terhadap kecerdasan dan penguasaan ilmu yang terdapat pada Ibn Bajjah .Beliau dimakamkan di samping makam Ibn ‘Arabi di Fez.

Beliau mempunyai dua orang pengikut yang kebanyakan maklumat mengenai latar belakang kehidupannya banyak diperolehi daripada kedua orang ini. Dua orang pengikutnya ialah :

  • Abu Hasan Ali Bin Abdul Aziz bin al-Iman
  • Ibnu Tufail

KARYA-KARYA IBN BAJJAH

Ibn Bajjah banyak mengahasilkan karya di dalam pelbagai bidang .Karya-karya yang dihasilkan lebih kurang 31 karya .Karya asal Ibn Bajjah ditulis di dalam Bahasa Arab dan diterjemahkan ke dalam bahasa Hebrew dan Bahasa Latin. Manuskrip –manuskrip asal dan terjemahannya ada tersimpan di dalam perpustakaan Bodlein MS.Pococke 206, Perpustakaan Berlin MS.5060 dan di perpustakaan Escurial (Sepanyol) MS.612.

Di antara karya-karyanya yang terpenting ialah :

o    Risalah al-Wida’

Ia mengandungi tentang ketuhanan, kewujudan manusia, alam serta huraian mengenai kedoktoran dan perubatan  Buku ini terletak di perpustakaan Bodlein.

o    Risalah Tadbir al-Mutawahhid

Ia mengandungi tentang pandangan beliau dalam bidang politik dan falsafah.Ia lebih menekankan kehidupan individu dalam masyarakat yang disebut Mutawahhid .Kandungan buku ini seperti buku al-Madinah al-Fadhilah, karangan al-Farabi. Risalah Tadbir al-Mutawahhid ini diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol setelah wafatnya Ibn Bajjah.

o    Risalah al-Ittisal al-‘Aql Bi al-Insan

Ia mengandungi tentang perhubungan akal dengan manusia  serta huraian mengenainya.

o    Kitab an-Nafs

Ia mengandungi  yang berkaitan tentang persoalan yang berkaitan tentang jiwa manusia dengan Tuhan dan pencapaian manusia yang tertinggi dari kewujudan manusia (kebahagiaaan). Persoalan ini banyak dipengaruhi oleh gagasan pemikiran falsafah Yunani ,oleh sebab itulah Ibn Bajajh banyak membuat ulasan terhadap karya dan hasil tulisan Aristotle, Galenos,  Al-Farabi dan Al-Razi.

o    Komentar Tentang Ilmu Logik Al-Farabi

Sampai sekarang masih ia tersimpan di perpustakaan Escurial  (Spanyol )

Beberapa ulasan terhadap buku falsafah hasil karya Aristotle,  Al-Farabi, Porphyrius dan sebagainya. Menurut Carra de Vaux, di perpustakaan Berlin terdapat 24 risalah manuskrip karangan Ibn Bajjah. Di antaranya ialah Tardiyyah (syair-syair)

  • Risalah al-Akhlaq
  • Kitab al-Nabat
  • Risalah al-Ghayah al-Insaniyyah

Sesungguhnya Ibn Bajjah merupakan tokoh ilmuwan yang hebat, sesuai denagn kedudukan dan penghormatan yang telah diberikan kepada beliau sepanjang kehidupannaya serta tokoh falsafah Islam yang pertama di Andalusia. Menurut Ibn Khaldun, kedudukan Ibn Bajjah adalah setaraf dengan Ibn Rusyd (Averroes ), Ibnu Sina (Avincenna) dan al-Farabi.

Masih banyak lagi pemikiran falsafah Ibn Bajjah yang tidak diketahui kerana sebahagian besar karya tulisannya telah musnah .Bahan yang tinggal dan sampai kepada kita hanya merupakan sisa-sisa dokumen yang berselerakan di beberapa perpustakaan di Eropah.

 Sesetengah pandangan falsafahnya jelas mendahului zamannya. Sebagai contoh, beliau telah lama menggunakan ungkapan manusia sebagai makhluk sosial, sebelum para sarjana barat berbuat demikian. Begitu juga konsep madani telah dibicarakan dalam tulisannya secara tak langsung .

Biarpun umur Ibn Bajjah tidak panjang tetapi sumbangan dan pemikirannya telah meletakkan tapak yang kukuh kepada perkembangan ilmu dan falsafah di bumi Andalusia.

%d bloggers like this: